BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, May 15, 2011

Seorang Pelajar..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Masih terdapat pelajar yang menunjukkan minat pada pelajaran Agama Islam walaupun kuperhatikan ramai dalam kalangan pelajar di sekolah itu mempunyai pengetahuan dan latar belakang agama yang sangat kurang.

Hari ini aku hanya diamanahkan untuk menjaga dan menggantikan satu kelas sahaja. Kelas tersebut ialah kelas Tingkatan 2F. Pada minggu lepas dan kali pertama aku menggantikan kelas juga ialah kelas tersebut. Namun, sebelum ini aku dapati kelas tersebut amatlah sukar dikendalikan.

Aku amat bersyukur kerana pada hari ini para pelajar kelas tersebut tidaklah senakal sebelum ini. Mereka lebih mendengar kata. Mungkin juga kerana mereka kini maklum bahawa kedatangan kami ke sekolah itu sebagai guru pelatih seperti mana yang diumumkan oleh Penyelia Petang semasa perhimpunan hari ini.

Semasa memasuki kelas, aku berdoa sebanyak yang mampu. Aku memohon pada Allah agar dilembutkan hati-hati para pelajarku. Aku juga bertawakkal kepada-Nya. Alhamdulillah aku telah dipermudahkan-Nya.

Aku memberi salam kepada pelajar. Kemudian mereka mula membaca doa secara serentak. Alhamdulillah mereka menunjukkan adab pelajar yang baik. Setelah itu, aku memberi kebenaran kepada mereka untuk duduk. Aku pada ketika itu tidak mempunyai idea untuk melakukan apa-apa aktiviti di dalam kelas. Hanya apabila seorang pelajar permpuan yang duduk di hadapan meja guru memulakan bicara, barulah aku mula bercerita.

Banyak yang aku kongsikan dengan para pelajar di kelas itu. Namun tidak dinafikan ramai pelajar yang membuat kerja masing-masing sementara aku bercerita dengan pelajar yang lain. Aku amat tertarik dengan seorang pelajar perempuan. Dia bertanya kepadaku "Ustazah berasal dari mana?". Dengan jujur aku menjawab "Ustazah berasal dari Sabah. Sebuah negeri yang jauh dari negeri Kedah."

Kemudian dengan penuh minat pelajar tadi terus bertanya "Ustazah, seronok tak belajar jauh-jauh?". Aku menjawab dengan jawapan yang sungguh positif "Ya, belajar jauh-jauh banyak pengalaman. Boleh hidup berdikari. Dan yang paling penting dapat menimba pelbagai ilmu." Pelajar tersebut tersenyum. Dia bertanya lagi "Ustazah, sekarang umur ustazah berapa?". Aku hanya tersenyum. Pelajar tersebut terus bertanya. Aku menyuruhnya untuk meneka umurku. Namun aku tidak menyatakan umurku yang sebenar. InsyaAllah sebelum aku meninggalkan sekolah itu kelak, aku akan maklumkan pada pelajar tersebut.

Setelah pelbagai soalan dikemukakan oleh pelajar itu, tiba-tiba dia bertanya mengenai pelajaran. Katanya cukup gemar dengan subjek sejarah. Namun tidak sekalipun pernah mendapat gred A dalam peperiksaan. Aku memberikan semangat padanya dengan menyatakan bahawa bukan A yang menjadi matlamat tetapi ilmu di dada yang lebih utama. Kemudian dia menyatakan padaku bahawa dia sungguh berminat dengan subjek agama dan amat gemar menghafal. Aku tersenyum. Rupanya ada lagi pelajar seperti ini.

Dia bertanya kepadaku tentang kehidupan di asrama. Aku menceritakan hal-hal yang positif yang boleh menarik minatnya ke arah itu. Aku cuba memberikan sedikit pengetahuan kepadanya mengenai kehidupan di asrama. Dia mula bertanya soalan yang lebih mendalam "Ustazah, macam mana saya nak pindah ke sekolah berasrama dan di mana?". Aku menjawab "Sekarang kamu berada di tingkatan 2. Untuk masuk sekolah berasrama mestilah selepas menduduki PMR nanti. Belajar elok-elok dan setelah itu pohonlah untuk masuk ke MRSM". Kemudian dia bertanya "Ustazah, MRSM tu apa?". Kasihan sungguh pelajar tersebut kerana tidak diberikan pendedahan dan pengetahuan mengenainya. Aku terus menerangkan padanya dan menceritakan mengenai sekolah-sekolah agama yang juga berasrama.

Banyak yang aku kongsikan pada pelajar itu dan juga pelajar lain hari ini. Aku juga mendapat sedikit info daripada pelajar itu. Katanya pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar Mesir yang telah terkena tembakan peluru getah (Hosni Mubarak) merupakan jirannya. Semasa membaca berita tersebut aku menyangkakan ia hanyalah rekaan cerita kerana nama tersebut seperti nama PM di Mesir. Kini aku mendapat kebenaran mengenainya. Banyak lagi yang tidak dapat kucoretkan di sini.

* * * * * * * * *

MUSAFIR ILMU ini amatlah mencabar. Kekuatan rohani amat penting dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan ini. Kudoakan moga pelajar tadi juga akan menjadi MUSAFIR ILMU sepertiku pada suatu hari nanti.

0 comments: