BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, May 25, 2011

Andai "MEREKA" Ada Di Sisiku..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Adakala kita iri melihat insan lain..sedang kita lupa ada insan lain lebih susah dan menderita berbanding kita..adakalanya juga kita puas dengan apa yang kita miliki..sedang kita lupa ada mereka yang lebih memerlukan..

Sayu rasa hati mengenangkan raut wajah mama dan bapa tersayang. Rindu rasa hati ini untuk kembali. Bertemu dengan insan-insan tersayang. Namun apalah dayaku. Seharian menahan rasa hati yang tidak keruan. Andai "MEREKA" ada di sisiku alangkah indahnya.

Aku melihat riang gembira sahabat-sahabatku untuk bercuti selama dua minggu ini. Namun aku hanya mampu mendengar dan berkongsi kegembiraan. Apa yang mampu memujuk hatiku hanyalah gambar-gambar keluargaku. Aku perlu kuatkan semangatku. Lemah dan mengaku kalah bukan tradisi keluargaku.


* * * * * * * * * * * * *

Biarlah aku meneruskan langkahku sebagai MUSAFIR ILMU untuk terus maju ke hadapan.

Monday, May 23, 2011

Sebuah Mandat..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Biar kecil susuk tubuh, biar berduri ranjau ditempuh, biar bergunung bukit didaki, biar amanah semua dilunasi..

Berkeringat aku setibanya di sekolah. Berjalan di tengah terik mentari membuatku merasakan betapa jauhnya sekolah dari rumah sewaku, sedangkan jika dihitung masa dan perjalanan jaraknya tidaklah jauh. Aku bergegas ke bilik mesyuarat bersama sahabat-sahabat praktikum yang terlibat dengan majlis persaraan yang akan diadakan pada 26 mei ini.

Sesampainya di hadapan bilik mesyuarat, kulihat pintu masih tertutup dan ternyata ia masih terkunci. Alangkah geramnya hatiku tatkala itu. Aku bersabar seketika dan menunggu guru-guru yang terlibat dengan mesyuarat itu tiba. Setelah beberapa minit, kami dimaklumkan bahawa pengerusi dan setiausaha tidak dapat menghadirkan diri dan mesyuarat terpaksa ditangguhkan esok.

Dengan redha kami turun dari bilik mesyuarat yang terletak di tingkat 3 blok tersebut dan singgah ke bilik peperiksaan untuk mengambil kertas soalan yang akan diberikan kepada kelas mengikut jadual yang ditetapkan. Sambil menunggu kertas soalan, penyelia petang datang menemuiku dan meminta aku dan sahabat paraktikum sesi petang untuk berjumpa dengannya selepas itu.

Setelah mendapatkan kertas soalan, aku dan sahabatku pergi menemuinya. Antara perkara yang dimaklumkan kepada kami ialah mengenai jadual dan guru pembimbing sepanjang menjalani latihan mengajar di sekolah itu. Aku diberikan 12 masa mengajar yang mana aku diamanahkan mengajar kelas tingkatan 2C dan juga 1G.

Alhamdulillah aku bersyukur kerana pelajar-pelajar di kelas tersebut walaupun agak sedikit nakal tetapi masih boleh mendengar kata-kata guru jika dibandingkan dengan sesetengah kelas yang lain. Namun begitu, bukan itu yang inginku perkatakan. Apa yang penting bagiku ialah menunaikan amanah atau mandat yang diberikan oleh pihak sekolah kepadaku dengan sebaik mungkin.

Betapa susah dan banyak ujian yang harusku hadapi sepanjang menjalani latihan mengajar akanku jadikan sebagai pengalaman dan bekalanku apabila melangkah ke sekolah sebagai guru kelak. Aku tidak akan pernah jemu berusaha dan berdoa agar aku sentiasa diberikan kekuatan, ketabahan, kecekalan, dan keredhaan daripada Allah.

* * * * * * * * * * * *

Sebuah mandat buat MUSAFIR ILMU yang harus dilunasi di kembaranya sebagai musafir yang sedang berjuang.

Sunday, May 22, 2011

Minggu Ketiga.. ^_^'

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Adakalanya apa yang kita perolehi adalah tanpa diduga.


Hari ini seperti biasa aku ke sekolah. Tepat jam 12 tengah hari aku mula berjalan kaki ke sekolah bersama 2 orang sahabat yang turut menjalani latihan mengajar bersamaku. Agak terik matahari pada ketika itu. Aku pula asyik memikirkan kelas yang menjadi amanahku hari ini.

Sesampainya aku di sekolah, seperti hari-hari yang sudah aku akan terus menuju ke pejabat bagi menandakan buku kehadiran. Setelah itu aku terus ke bilik mesyuarat di mana menjadi tempat guru-guru praktikum. Aku berehat seketika. Seorang guru datang kepadaku dan memberikan surat untuk menghadiri mesyurat pada esok hari. Agenda mesyuarat adalah mengenai majlis persaraan seorang guru di sekolah itu. Aku akur kerana aku diamanahkan menjadi AJK 'backdrop'.

Sedang aku berehat, loceng pula kedengaran menandakan aku perlu segera ke bilik peperiksaan untuk mengambil kertas soalan. Aku pantas bergerak dan menuju ke kelas. Aku bersyukur pelajar hari ini tidaklah memeningkan fikiranku. Setelah selesai dan masa menjawab tamat, aku menghantar kertas jawapan tersebut ke bilik peperiksaan semula. Sesampainya aku di situ, seorang guru memintaku menggantikan guru yang tidak hadir untuk menjada peperiksaan pada masa seterusnya. Aku akur kerana aku tahu aku hanya seorang guru pelatih dan itu semua adalah latihan bagiku.

Belum pun sempat aku melangkah, guru tersebut memanggilku lagi dan memaklumkan padaku bahawa aku adalah antara beberapa orang guru yang menjadi guru bertugas pada minggu ini. Apalah nasibku. Aku tidak tahu kenapa harus aku. Tetapi aku tetap akur. Semua itu adalah latihan. Moga aku akan terus tabah menerima ap pun jua amanah.

Banyak lagi hal yang berlaku hari ini. Aku diberikan pen marker oleh pihak sekolah sama seperti sahabat pelatih yang lain. Dan yang agak menggembirakan, aku telah bertanya kepada penyelia petang mengenai jadual. Beliau menyatakan bahawa jadual akan diberikan pada hari rabu. Alhamdulillah.

* * * * * * * * * *

Amanah yang diberikan perlu dijalankan dengan penuh kesungguhan. MUSAFIR ILMU pasti mampu menerima dan menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Friday, May 20, 2011

Bersyukur Dengan Segala Kurniaan-Nya..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Andai kita menyedari hakikat kita sebagai hamba-Nya, terimalah segala ketentuan dan kurniaan-Nya dengan penuh kesyukuran dan redha.

Hari ini aku tidak ke sekolah. Esok juga aku tidak perlu ke sekolah. Seperti biasa aku akan menghabiskan masa yang ada dengan rutin harianku. Namun yang berbeza hari ini, aku sedikit tersentuh kerana keputusan peperiksaan semester telah pun keluar. Aku menjadi tidak keruan. Kugagahi jua diri ini untuk melihat keputusanku.

Apa yang inginku katakan ialah apapun keputusan yang aku terima hanyalah angka sebagai ukuran. Aku tetap bersyukur. Aku yakin pada kurniaan-Nya. Hanya itu tahap kemampuanku. Aku akan redha dan terus bersyukur.

Buat mama dan bapa di kampung, anak kalian ingin memohon maaf andai hari ini sedikit mengecewakan. Bukan niatku melakukan sedemikian. Tetapi itulah taqdir dan ketentuan-Nya. Di kesempatan ini juga aku ingin mengucapkan "MABRUK" kepada sahabat-sahabat yang berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang.

* * * * * * * * * *

MUSAFIR ILMU haruslah sentiasa redha dengan segala ketentuan-Nya. Usaha dan terus berusaha. InsyaAllah pasti akan beroleh kejayaan.

Thursday, May 19, 2011

Hari terakhir Minggu Kedua..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Hari yang kita rasa tidak mampu hadapi pasti akan kita hadapi juga. Walau sesukar mana pun hari itu kita mesti hadapi juga.

Alhamdulillah syukur pada Allah. Hari ini hari terakhir dalam minggu yang kedua aku menjalani latihan mengajar. Agak sukar juga hari-hari yang aku lalui sepanjang dua minggu ini. Bila difikirkan kembali seperti tidakku percaya aku mampu hadapi setiap hari itu.

Persoalah akhir atau baru bermula tidak menjadi isu yang utama. Tetapi bagaimana untuk menghadapi hari-hari itu dengan terbaik yang sentiasa bermain di fikiran. Aku setakat ini masih tidak diberikan jadual. Kerisauan mula bersarang di lubuk hati.

Hari ini juga merupakan hari terakhir bagi 2 orang pelajar senior yang turut menjalani latihan mengajar di sekolah itu. Alangkah bahagianya jika aku berada di tempat mereka. Namun aku sedar aku baru berada di awal perjalanan. Belum pun menempuh ranjau yang mencabar, onak yang berduri, ombak yang membadai dan angin yang menghembus kencang.

Aku merasa sedikit keletihan hari ini. Mungkin disebabkan tidur yang tidak mencukupi malam semalam akibat kerja-kerja membuat tulisan dan corak-corak untuk backdrop sempena majlis persaraan seorang guru pada minggu hadapan. Justeru malam ini aku harus tidur lebih awal.

* * * * * * * * * * *

Keletihan, kerisauan, kebimbangan dan sebagainya adalah lumrah sebagai seorang MUSAFIR ILMU. Semua itu akan melatih diri menjadi lebih kuat dan tabah di hari-hari yang mendatang.

Wednesday, May 18, 2011

Semua Atas Kehendak-Nya

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Sebaik-baik perancang ialah Allah. Kadangkala kita telah merancang yang terbaik, namun semua bergantung pada izin-Nya jua.

Hari ini seperti biasa aku akan ke sekolah pada jam 12.00 tengah hari. Sedikit kerisauan bermain di benakku. Perutku mulai tidak selesa sejak semalam. Aku tidak lalu untuk menjamah makanan. Akhirnya aku ke sekolah dengan perut yang kosong dan dialasi hanya dengan secawan nescafe.

Aku akan menjaga kelas peperiksaan pada hari ini. Sungguh lama kurasakan menunggu masa untukku menjaga kelas peperiksaan. Akhirnya jam menunjukkan 5.30 petang. Aku ke Bilik Peperiksaan sekolah untuk mengambil kertas soalan dan seterusnya ke kelas tingkatan 1.

Semasa memasuki kelas, aku amat sedih melihatkan keadaan pelajar yang tidak tahu menghormati guru. Adakah aku harus berlembut pada ketika itu. Aku beristighfar seketika. Aku mula bersuara. Alhamdulillah pelajar mendengar kata-kataku.

Aku mengarahkan semua pelajar menyimpan buku dan yang tidak berkaitan di belakang kelas sebelum aku mula mengagihkan kertas soalan dan borang OMR. Beberapa minit kemudia loceng berbunyi menandakan masa menjawab telah bermula.

Aku mengawasi kelas dengan penuh kesabaran. Namun selepas 25minit berlalu, pelajar mula menunjukkan ragam masing-masing. Pelbagai alasan diberikan. Hendak ke tandas, meminta untuk aku mengutip kertas jawapan dengan lebih awal dan macam-macam lagi. Aku cuba bertenang dan memaklumkan bahawa pelajar hanya dibenarkan keluar kelas setelah loceng yang menunjukkan masa menjawab telah tamat dibunyikan oleh penyelia petang sekolah.

Ramai dalam kalangan pelajar yang cuba menunjukkan reaksi kurang berpuas hati dengan tindakanku. Aku sekadar mengabaikan sahaja kerana apa yang aku lakukan semuanya adalah atas arahan Penyeli Petang sekolah dan lembaga peperiksaan sekolah. Pelajar terpaksa akur. Tetapi masih juga terdapat pelajar yang ingin membuat bising. Aku memberi arahan untuk senyap tetapi mereka berkeras sehinggalah seorang guru dari kelas sebelah datang dan memberikan amaran kepada mereka. Setelah itu tidak ada lagi pelajar yang berani membuat bising.

Setelah loceng tamat peperiksaan berbunyi, aku mengutip kertas jawapan dan mengizinkan para pelajar untuk keluar. Aku membiarkan para pelajar beredar terlebih dahulu. Kemudian aku mula menyusun langkah untuk turun. Ketika turun, aku terasa penglihatanku menjadi gelap dan aku sedar yang aku telah pun berada di atas lantai dalam keadaan duduk. Sungguh aku tidak menyangka perkara tersebut berlaku padaku. Aku bersyukur perkara itu berlaku dengan masa yang singkat.

Aku pantas bangun dan bergegas ke Bilik Peperiksaan untuk menghantar kertas jawapan kelas tadi. Dan setelah itu aku segera mencari 2 orang temanku untuk sama-sama pulang ke rumah.

* * * * * * * * * * * * * *

Aku merancang untuk menjadi guru yang baik. Namun rancangan Allah itu lebih hebat. Aku diuji dengan ujian yang tidak pernahku pinta. Ya Allah redhailah MUSAFIR ILMU ini. Andai aku mampu menghadapi ujian-Mu, berikanlah aku ujian. Andai aku tidak mampu, Engkau ringankanlah ujian-Mu terhadapku.

Tuesday, May 17, 2011

Tatkala Jiwa Merindu.. ^_^'

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Memori yang indah akan sentiasa tersemat dalam kalbu. Walaupun kadangkala ia hanya memori indah dalam diri.

Hari ini merupakan cuti hari Wesak. Aku tidak ke sekolah dan seperti biasa aku hanya duduk di rumah. Seawal subuh aku telah bangun. Apa aktiviti yang akanku lakukan hari ini. Aku hanya merancang untuk memasak dan beristirehat di rumah.

Setelah selesai memasak, aku mula meneroka gambar-gambar yang tersimpan di dalam laptop milikku. Dalam pada itu, aku terlihat gambar hari terakhir aku semasa berada di semester 6. Hari itu merupakan hari Ekspo Hasil Pembelajaran EDU. Aku adalah di antara mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai ekspo tersebut dalam bahagian Video Makropengajaran Dalam Makmal secara individu.



Walaupun hanya mendapat saguhati, namun bagiku ia cukup bermakna. Memori itu akan terus tersemat di hati. Aku amat merindui detik dan saat-saat berada di alam pengajian. Alangkah indahnya waktu itu. Bagaikan tidak kurasai 3 tahun telah pun berlalu. Dan kini aku sedang menjalani latihan mengajar.

* * * * * * * * * * * *

Alangkah indahnya MUSAFIR ILMU. Pelbagai pengalaman pahit manis dirasai. Sejuta kenangan terukir indah di dalam ingatan. Memori yang pasti akan dikenang dan dirindui selamanya.

Monday, May 16, 2011

Sambutan Hari Guru..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

16 Mei Hari Guru. Hari ini bukan hari kebanggaan. Tetapi bagi mengenang dan menghargai jasa para guru dalam mendidik anak bangsa. Guru bukan hanya pada gelaran semata-mata tetapi ia sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan sedaya mampu.

Hari ini seawal pukul 7.30 pagi semua pelajar dan guru di sekolah tempatku menjalani latihan mengajar berkumpul di hadapan perkarangan sekolah. Para guru dan pelajar kelihatan ceria dan bersemangat dengan memakai pakaian sukan. segala aktiviti yang dijalankan hari ini bertujuan meraikan para guru di sekolah itu termasuk juga kami sebagai guru-guru pelatih.

Aku mengikuti acara sukaneka yang dijalankan. Walaupun aku belum mengingati semua nama guru memandangkan minggu ini merupakan minggu kedua aku manjalani latihan mengajar, tetapi kau berusaha untuk bersama-sama mengikuti aktiviti yang dijalankan.

Setelah semua acara sukaneka habis dijalankan, aku menyusul sahabat pelatih sepertiku yang sedang mengawasi peperiksaan pelajar yang tidak dapat menghadiri peperiksaan pada minggu lepas. Disebabkan itu aku tidak sempat menggantikan pakaian sukan kepada pakaian formal seperti guru-guru lain. Sedikit rasa malu di hati. Namun aku cuba berfikir secara positif. Aku memberikan khidmat pada sekolah. Walaupun sekadar mengawasi peperiksaan, namun bagiku ia cukup bermakna.

Aku juga terlepas mengikuti acara kemuncak hari guru serta persembahan nyanyian Lagu Guru Malaysia bersama guru-guru sekolah. Perasaan sedih timbul di hati. Tetapi apa gunanya bersedih. Inilah yang dikatakan sebagai latihan. Aku harus akur dengan apa jua situasi yang aku hadapi.

Setelah majlis sambutan hari guru di dewan berkahir, aku mengikuti sahabat-sahabat pelatih yang lain beredar ke bilik mesyuarat sementara menunggu jamuan makan tengah hari. Di kesempatan itu, ada seorang sahabat memberikan sebatang pen sebagai tanda ingatan sempena hari guru. Terima kasih padanya walaupun aku terlupa untuk mengucapkan padanya. Dan aku sempat meminta seorang sahabat untuk bertukar pen tersebut kerana aku tertarik melihat pen yang berwarna hijau.

Tidak lama kemudian aku dan sahabat pelatih yang lain pun pergi menikmati jamuan yang disediakan untuk para guru. Alhamdulillah, setelah menikmati jamuan itu kami pun masing-masing membawa diri.

* * * * * * * * * * * * *

Andai ingin menjadi seorang guru, jadilah seorang MUSAFIR ILMU. Kutiplah sebanyak mana pengalaman, kemahiran dan pengetahuan. Moga menjadi guru yang sebenar-benar guru.

Sunday, May 15, 2011

Seorang Pelajar..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Masih terdapat pelajar yang menunjukkan minat pada pelajaran Agama Islam walaupun kuperhatikan ramai dalam kalangan pelajar di sekolah itu mempunyai pengetahuan dan latar belakang agama yang sangat kurang.

Hari ini aku hanya diamanahkan untuk menjaga dan menggantikan satu kelas sahaja. Kelas tersebut ialah kelas Tingkatan 2F. Pada minggu lepas dan kali pertama aku menggantikan kelas juga ialah kelas tersebut. Namun, sebelum ini aku dapati kelas tersebut amatlah sukar dikendalikan.

Aku amat bersyukur kerana pada hari ini para pelajar kelas tersebut tidaklah senakal sebelum ini. Mereka lebih mendengar kata. Mungkin juga kerana mereka kini maklum bahawa kedatangan kami ke sekolah itu sebagai guru pelatih seperti mana yang diumumkan oleh Penyelia Petang semasa perhimpunan hari ini.

Semasa memasuki kelas, aku berdoa sebanyak yang mampu. Aku memohon pada Allah agar dilembutkan hati-hati para pelajarku. Aku juga bertawakkal kepada-Nya. Alhamdulillah aku telah dipermudahkan-Nya.

Aku memberi salam kepada pelajar. Kemudian mereka mula membaca doa secara serentak. Alhamdulillah mereka menunjukkan adab pelajar yang baik. Setelah itu, aku memberi kebenaran kepada mereka untuk duduk. Aku pada ketika itu tidak mempunyai idea untuk melakukan apa-apa aktiviti di dalam kelas. Hanya apabila seorang pelajar permpuan yang duduk di hadapan meja guru memulakan bicara, barulah aku mula bercerita.

Banyak yang aku kongsikan dengan para pelajar di kelas itu. Namun tidak dinafikan ramai pelajar yang membuat kerja masing-masing sementara aku bercerita dengan pelajar yang lain. Aku amat tertarik dengan seorang pelajar perempuan. Dia bertanya kepadaku "Ustazah berasal dari mana?". Dengan jujur aku menjawab "Ustazah berasal dari Sabah. Sebuah negeri yang jauh dari negeri Kedah."

Kemudian dengan penuh minat pelajar tadi terus bertanya "Ustazah, seronok tak belajar jauh-jauh?". Aku menjawab dengan jawapan yang sungguh positif "Ya, belajar jauh-jauh banyak pengalaman. Boleh hidup berdikari. Dan yang paling penting dapat menimba pelbagai ilmu." Pelajar tersebut tersenyum. Dia bertanya lagi "Ustazah, sekarang umur ustazah berapa?". Aku hanya tersenyum. Pelajar tersebut terus bertanya. Aku menyuruhnya untuk meneka umurku. Namun aku tidak menyatakan umurku yang sebenar. InsyaAllah sebelum aku meninggalkan sekolah itu kelak, aku akan maklumkan pada pelajar tersebut.

Setelah pelbagai soalan dikemukakan oleh pelajar itu, tiba-tiba dia bertanya mengenai pelajaran. Katanya cukup gemar dengan subjek sejarah. Namun tidak sekalipun pernah mendapat gred A dalam peperiksaan. Aku memberikan semangat padanya dengan menyatakan bahawa bukan A yang menjadi matlamat tetapi ilmu di dada yang lebih utama. Kemudian dia menyatakan padaku bahawa dia sungguh berminat dengan subjek agama dan amat gemar menghafal. Aku tersenyum. Rupanya ada lagi pelajar seperti ini.

Dia bertanya kepadaku tentang kehidupan di asrama. Aku menceritakan hal-hal yang positif yang boleh menarik minatnya ke arah itu. Aku cuba memberikan sedikit pengetahuan kepadanya mengenai kehidupan di asrama. Dia mula bertanya soalan yang lebih mendalam "Ustazah, macam mana saya nak pindah ke sekolah berasrama dan di mana?". Aku menjawab "Sekarang kamu berada di tingkatan 2. Untuk masuk sekolah berasrama mestilah selepas menduduki PMR nanti. Belajar elok-elok dan setelah itu pohonlah untuk masuk ke MRSM". Kemudian dia bertanya "Ustazah, MRSM tu apa?". Kasihan sungguh pelajar tersebut kerana tidak diberikan pendedahan dan pengetahuan mengenainya. Aku terus menerangkan padanya dan menceritakan mengenai sekolah-sekolah agama yang juga berasrama.

Banyak yang aku kongsikan pada pelajar itu dan juga pelajar lain hari ini. Aku juga mendapat sedikit info daripada pelajar itu. Katanya pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar Mesir yang telah terkena tembakan peluru getah (Hosni Mubarak) merupakan jirannya. Semasa membaca berita tersebut aku menyangkakan ia hanyalah rekaan cerita kerana nama tersebut seperti nama PM di Mesir. Kini aku mendapat kebenaran mengenainya. Banyak lagi yang tidak dapat kucoretkan di sini.

* * * * * * * * *

MUSAFIR ILMU ini amatlah mencabar. Kekuatan rohani amat penting dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan ini. Kudoakan moga pelajar tadi juga akan menjadi MUSAFIR ILMU sepertiku pada suatu hari nanti.

Rumah baruku.. ^_^'

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Rumah baruku. Bukan milikku. Namun hanya rumah tumpangan sementara bagiku. Rumah ini milik seorang guru yang baik hati dan menerima kedatanganku untuk tumpang berteduh siang dan malam selama menjalani latihan mengajar.

Hari ini, aku berpindah ke rumah sewa milik seorang guru di sekolah tempatku menjalani latihan mengajar. Aku amat bersyukur kerana kini aku tidak lagi perlu risau memikirkan tempat tinggal untuk berulang-alik selama mana aku harus menjalani latihan mengajar. Terima kasih dan syukur kupanjatkan pada-Nya.

Hari ini juga, merupakan hari ulang tahun kelahiran adikku, Yusuf bin Lahadi yang kini sedang melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah di Universiti Al-Azhar Mesir. Hari ini juga merupakan hari pertunangan kakakku Hajar Asiah binti Lahadi. Walaupun aku tidak berada di kampung pada saat itu, namun aku bersyukur kerana Allah telah memberikan kerahmatan dan keredhaan-Nya padaku dan seluruh keluargaku.

Aku amat sunyi berada di rumah ini. Masih kekok untuk menyesuaikan diri. Aku hanya mempunyai tempat tidur di atas lantai tanpa katil. Aku tidak memiliki almari pakaian. Aku hanya memiliki sebuah bagasi pakaian, dua beg kecil, dan alat-alat rutin yang biasa dimiliki oleh orang lain. Aku menjadi lebih bersyukur kerana semua kekurangan ini mengingatkanku kepada-Nya dan menyedarkanku bahawa hidup di dunia ini hanya persinggahan. Harta takkan pernah cukup.

Aku amat merindui keluargaku saat ini. Aku juga merindui keluarga sahabatku yang banyak membantuku. Tak mampu rasanya diri ini membalas segala pertolongan mereka. Bekalan makananku hanya 5kg beras, 10 biji telur, cabai, lepat pisang, maggie, nescafe dan yang paling penting ialah glukosa sebagai penambah tenagaku. Ya Allah jadikanlah aku insan yang bersyukur atas setiap kurniaan-Mu.

* * * * * * * * * * * *

Aku amat bersyukur kerana MUSAFIR ILMU ini banyak mengajarku erti kesyukuran. Aku juga banyak belajar erti ketabahan dan kesabaran. Dan aku juga lebih menyedari bahawa kehidupan di dunia hanya suatu persinggahan sebagaimana persinggahan seorang MUSAFIR yang pasti akan berlalu dan menuju ke destinasi seterusnya.

Thursday, May 12, 2011

Hari Terakhir Minggu Pertama..Hari Kelahiranku..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Minggu pertama latihan mengajar amat mencabar dan hari ini adalah hari terakhir bagi minggu tersebut. Hari ini juga merupakan hari kelahiranku.

Hari ini aku diberikan amanah untuk menggantikan kelas cikgu yang mengambil cuti bersalin. Aku redha walaupun kelas yang bakal kumasuki itu antara kelas yang terdiri daripada pelajar nakal. Hatiku yang gusar tiba-tiba menjadi tenang. Rupa-rupanya masa itu aku harus mengikuti mesyuarat bersama Pengetua.

Aku mempunyai satu kelas lagi untuk diganti. Kelas tersebut ialah Kelas Tingkatan 2B. Setelah masuk ke dalam kelas itu, aku merasa amat lega dan bersyukur kerana pelajar mudah dikendalikan dan mendengar kata-kataku.

Setelah itu, aku hanya menunggu masa untuk pulang. Selesai sudah tugasanku untuk hari ini dan minggu pertama. Tiba-tiba teringat bahawa hari ini adalah hari kelahiranku. Semakin dewasa aku kini. Semakin banyak juga tanggungjawab yang akanku pikul. Dan semakin banyak kekuatan dalaman yang perlu kusiapkan.

* * * * * * * * * * * * *

Aku ingin sekali menjadi seorang guru yang disukai oleh pelajar, disenangi oleh guru-guru yang lain, dan yang paling penting menjadi seorang MUSAFIR ILMU yang akan menyebarkan ilmu kepada anak-anak bangsa di tanah kelahiranku.

Wednesday, May 11, 2011

Hari Pertama..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Hidup ini memerlukan satu kekuatan. Walaupun tanpa teman, kehidupan mesti diteruskan dengan penuh semangat. Yakin bahawa Allah sentiasa menemani. Allah sentiasa membantu. Allah segala-galanya.

Hari ini adalah hari pertama bagiku tinggal di rumah sewa yang didiami oleh Kak Fiti yang juga merupakan seorang guru di tempat aku menjalani latihan mengajar. Apa yang inginku utarakan di sini ialah hari pertama yang tak perah kubayangkan. Aku gagahi juga. Alhamdulillah aku boleh melaluinya. Hari pertama aku akan mula bermalam di sini dan selama aku menjalani latihan mengajar.

Aku merasa sedikit kekok kerana masih belum dapat menyesuaikan diri. Namun aku merasa lega kerana mempunyai broadband. Setidak-tidaknya bolehlah aku melayari internet. Aku belum mempunyai apa-apa di dalam bilik tidurku. Dengan itu aku akan tidur di ruang tamu pada malam ini. Apa pun aku tetap bersyukur kerana masih mempunyai tempat berteduh yang selamat.

Esok aku akan ke rumah sahabatku. Barang-barang milikku masih banyak di rumah sahabatku. Aku akan ke rumahnya dan mengambil sedikit masa itu untuk membeli apa-apa yang dirasakan perlu. Aku merasa letih tiba-tiba. InsyaALLAH akanku sambung bicaraku pada hari-hari yang lain.

* * * * * * * * * * * * *

Aku seorang perantau di negeri orang. Berdikari menjadi kewajipan bagiku. Walaupun aku merasa sungguh perit hidup ini. Namun aku sebagai MUSAFIR ILMU perlu meneruskan dan mengharungi segalanya tanpa mengira pahit,manis, suka mahupun duka.

Friday, May 6, 2011

Perjuangan Seorang Perantau..


Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

"Hebatnya ujian Allah, membuka minda dan fikiranku, segalanya kuserahkan pada-Nya, Dia lebih tahu dan telah merancang sesuatu yang terbaik untukku"
Teringin sekali diri ini pulang ke kampung halaman bersama keluarga tersayang. Hari ini, hari ke-6 aku menumpang di rumah sahabatku. Betapa bersyukurnya aku dikurniakan seorang sahabat sepertinya. Moga Allah membalas jasa baik sahabatku dan keluarganya. Sungguh aku tidak mampu membalas jasa mereka padaku.

8hb Mei semakin hampir. Aku akan menjejakkan kaki ke sekolah. Inilah perjuanganku. Ya Allah, pada saat ini aku tinggal berjauhan dengan keluargaku, malah tinggal menumpang di sumah keluarga sahabatku, moga Engkau tabahkan hatiku dalam menjalani segala liku-liku kehidupan ini. Dulu, aku pernah menjalani ROS (Rancangan Orientasi Sekolah) di daerahku, di tempat kelahiranku. Kini, situasi amat berbeza. Dulu, setiap pagi bapa akan menghantarku ke sekolah. Sunggguh ketika itu aku masih anak kecil yang tidak mampu berdikari. Kini aku masih si anak kecil, namun aku harus berdikari kerana bapa tidak ada di sini, mama, dan semua jauh dariku.

Perjuanganku ini akanku teruskan walau sebak di hati ini sukar untukku luahkan. Aku amat merindui keluarga di kampung. Merindui ceramah mama setiap hari. Kini, aku sunyi dari semua itu. Aku perlu memberi ceramah pada diriku sendiri. Menangis di dalam hati sendiri. Apa pun ujian, aku yakin aku mampu hadapi walaupun tidak menjadi yang terbaik. Aku sedar "Perjuangan Seorang Perantau" memerlukan kekuatan dan ketabahan yang tinggi. Dan alhamdulillah aku menjadikan Allah sebagai sumber kekuatanku. Al-Quran menjadi penenang hatiku.

* * * * * * * * * * *

Bukanlah MUSAFIR ILMU andai ujian dan liku-liku tidak dialami dalam "Perjuangan Seorang Perantau".

Thursday, April 28, 2011

Perpisahan Demi Sebuah Perjuangan..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "follower's" blog ini..

"Setelah tiga tahun bersama, suka duka, pahit manis, asam garam, akhirnya perpisahan yang terjadi"
Suasana terasa sungguh sepi kali ini. Tiada lagi suara-suara riang yang biasa kedengaran di cuping telinga. Jiran-jiran mulai berangkat kembali ke kampung halaman masing-masing. Tidak kurang juga mereka yang pergi melancong bersama keluarga dan sahabat taulan.

Aku masih bersama lembaran-lembaran nota yang juga menjadi teman tidurku. Subjek terakhir untuk pengajian semester ini. Agak berat untukku kuasai. Sungguh agak berat. Fikiran mula menerawang kembali ke beberapa ketika yang lalu. Terbayang wajah-wajah para sahabat. Manisnya kenangan itu.

Namun, perpisahan adalah suatu yang pasti. Semalam ramai daripada sahabatku yang telah menghabiskan peperiksaan akhir. Kini hanya tinggal sedikit daripada sahabat termasuk aku yang perlu menduduki peperiksaan subjek yang terakhir pada 29hb April ini. Sedikit sedih mengenangkan perpisahan yang berlaku antara kami.

Mungkin aku tidak begitu akrab dengan kesemua sahabatku, namun dustalah aku andai tidak mempunyai sedikit rasa berat di hati dengan perpisahan ini. Perpisahan dalam tempoh yang pendek tapi cukup terasa. Hati kecilku sering mendoakan kesejahteraan kesemua sahabatku walau di mana pun berada.

Moga perpisahan ini akan menjadi satu pengalaman buat aku dan sahabat dalam meniti pengalaman di dunia luar untuk dikongsikan bersama sekembalinya kami pada semester pengajian yang terakhir nanti. Dengan satu matlamat dan perjuangan kami mengatur langkah.

* * * * * * * * * *

MUSAFIR ILMU dengan niat yang tulus sebagai warga pendidik dengan redha-Nya.

Wednesday, April 27, 2011

Bermulanya Satu Pengembaraan

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

"Setelah lama menyepi, mencari dan menadah seberapa banyak ilmu dan kemahiran"
Hari ini, 27 April 2011 (Rabu) aku menyedari bahawa dalam masa kurang dari sebulan aku bakal menjejakkan kaki ke ALAM PENDIDIKAN yang penuh dengan cabaran. setelah enam semester pengajian kulalui, bersama teman-teman seperjuangan, akhirnya kami berada pada usia matang. Bakal menunjukkan hasil selama tiga tahun berhempas pulas di persada pendidikan.

Mungkin bagi mereka yang tidak menjalani pengajian seperti aku dan kawan-kawan, melangkah ke dunia pendidikan bergelar Guru Pelatih merupakan suatu yang biasa. Namun ketahuilah ia merupakan saat paling genting. Mampukah aku dan kawan-kawan menunjukkan dan mengaplikasikan segala ilmu yang ditanam di dalam dada dengan sebaik-baiknya. Ya Allah..Ya Rabbul 'Izzati..Permudahkan kami.

Tanggal 08hb dan 09hb Mei bakal menjadi satu titik baru dalam lipatan sejarah hidup aku dan teman-teman. Bermulanya satu pengembaraan yang sungguh mencabar. Memerlukan kekuatan mental dan fizikal serta rohani yang mantap. Guru, Cikgu, Ustaz,Ustazah atau apa pun gelaran yang bakal aku dan teman-teman perolehi bukanlah kayu pengukur yang membezakan kami. Hanya gelaran PENDIDIK yang menjadi amanah di bahu-bahu kami.

Semoga bermulanya pengembaraan itu akan mengukuhkan dan menguatkan lagi hati-hati kami, memberikan kami pengalaman baru,dan mendidik kami menjadi PENDIDIK yang bakal mendidik anak-anak bangsa kelak. Bermulanya pengembaraan itu jugalah akan menentukan benar tidaknya kami sebagai PENDIDIK.

* * * * * * * * *

Aku mungkin bukan seorang PENDIDIK yang sempurna. Namun bagiku cukuplah langkahku sebagai MUSAFIR ILMU terus berjuang memartabatkan dan menyebarkan ilmu yang kumiliki walau hanya sebesar zarah.