BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, May 18, 2011

Semua Atas Kehendak-Nya

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Sebaik-baik perancang ialah Allah. Kadangkala kita telah merancang yang terbaik, namun semua bergantung pada izin-Nya jua.

Hari ini seperti biasa aku akan ke sekolah pada jam 12.00 tengah hari. Sedikit kerisauan bermain di benakku. Perutku mulai tidak selesa sejak semalam. Aku tidak lalu untuk menjamah makanan. Akhirnya aku ke sekolah dengan perut yang kosong dan dialasi hanya dengan secawan nescafe.

Aku akan menjaga kelas peperiksaan pada hari ini. Sungguh lama kurasakan menunggu masa untukku menjaga kelas peperiksaan. Akhirnya jam menunjukkan 5.30 petang. Aku ke Bilik Peperiksaan sekolah untuk mengambil kertas soalan dan seterusnya ke kelas tingkatan 1.

Semasa memasuki kelas, aku amat sedih melihatkan keadaan pelajar yang tidak tahu menghormati guru. Adakah aku harus berlembut pada ketika itu. Aku beristighfar seketika. Aku mula bersuara. Alhamdulillah pelajar mendengar kata-kataku.

Aku mengarahkan semua pelajar menyimpan buku dan yang tidak berkaitan di belakang kelas sebelum aku mula mengagihkan kertas soalan dan borang OMR. Beberapa minit kemudia loceng berbunyi menandakan masa menjawab telah bermula.

Aku mengawasi kelas dengan penuh kesabaran. Namun selepas 25minit berlalu, pelajar mula menunjukkan ragam masing-masing. Pelbagai alasan diberikan. Hendak ke tandas, meminta untuk aku mengutip kertas jawapan dengan lebih awal dan macam-macam lagi. Aku cuba bertenang dan memaklumkan bahawa pelajar hanya dibenarkan keluar kelas setelah loceng yang menunjukkan masa menjawab telah tamat dibunyikan oleh penyelia petang sekolah.

Ramai dalam kalangan pelajar yang cuba menunjukkan reaksi kurang berpuas hati dengan tindakanku. Aku sekadar mengabaikan sahaja kerana apa yang aku lakukan semuanya adalah atas arahan Penyeli Petang sekolah dan lembaga peperiksaan sekolah. Pelajar terpaksa akur. Tetapi masih juga terdapat pelajar yang ingin membuat bising. Aku memberi arahan untuk senyap tetapi mereka berkeras sehinggalah seorang guru dari kelas sebelah datang dan memberikan amaran kepada mereka. Setelah itu tidak ada lagi pelajar yang berani membuat bising.

Setelah loceng tamat peperiksaan berbunyi, aku mengutip kertas jawapan dan mengizinkan para pelajar untuk keluar. Aku membiarkan para pelajar beredar terlebih dahulu. Kemudian aku mula menyusun langkah untuk turun. Ketika turun, aku terasa penglihatanku menjadi gelap dan aku sedar yang aku telah pun berada di atas lantai dalam keadaan duduk. Sungguh aku tidak menyangka perkara tersebut berlaku padaku. Aku bersyukur perkara itu berlaku dengan masa yang singkat.

Aku pantas bangun dan bergegas ke Bilik Peperiksaan untuk menghantar kertas jawapan kelas tadi. Dan setelah itu aku segera mencari 2 orang temanku untuk sama-sama pulang ke rumah.

* * * * * * * * * * * * * *

Aku merancang untuk menjadi guru yang baik. Namun rancangan Allah itu lebih hebat. Aku diuji dengan ujian yang tidak pernahku pinta. Ya Allah redhailah MUSAFIR ILMU ini. Andai aku mampu menghadapi ujian-Mu, berikanlah aku ujian. Andai aku tidak mampu, Engkau ringankanlah ujian-Mu terhadapku.

0 comments: