BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, April 28, 2011

Perpisahan Demi Sebuah Perjuangan..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "follower's" blog ini..

"Setelah tiga tahun bersama, suka duka, pahit manis, asam garam, akhirnya perpisahan yang terjadi"
Suasana terasa sungguh sepi kali ini. Tiada lagi suara-suara riang yang biasa kedengaran di cuping telinga. Jiran-jiran mulai berangkat kembali ke kampung halaman masing-masing. Tidak kurang juga mereka yang pergi melancong bersama keluarga dan sahabat taulan.

Aku masih bersama lembaran-lembaran nota yang juga menjadi teman tidurku. Subjek terakhir untuk pengajian semester ini. Agak berat untukku kuasai. Sungguh agak berat. Fikiran mula menerawang kembali ke beberapa ketika yang lalu. Terbayang wajah-wajah para sahabat. Manisnya kenangan itu.

Namun, perpisahan adalah suatu yang pasti. Semalam ramai daripada sahabatku yang telah menghabiskan peperiksaan akhir. Kini hanya tinggal sedikit daripada sahabat termasuk aku yang perlu menduduki peperiksaan subjek yang terakhir pada 29hb April ini. Sedikit sedih mengenangkan perpisahan yang berlaku antara kami.

Mungkin aku tidak begitu akrab dengan kesemua sahabatku, namun dustalah aku andai tidak mempunyai sedikit rasa berat di hati dengan perpisahan ini. Perpisahan dalam tempoh yang pendek tapi cukup terasa. Hati kecilku sering mendoakan kesejahteraan kesemua sahabatku walau di mana pun berada.

Moga perpisahan ini akan menjadi satu pengalaman buat aku dan sahabat dalam meniti pengalaman di dunia luar untuk dikongsikan bersama sekembalinya kami pada semester pengajian yang terakhir nanti. Dengan satu matlamat dan perjuangan kami mengatur langkah.

* * * * * * * * * *

MUSAFIR ILMU dengan niat yang tulus sebagai warga pendidik dengan redha-Nya.

Wednesday, April 27, 2011

Bermulanya Satu Pengembaraan

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

"Setelah lama menyepi, mencari dan menadah seberapa banyak ilmu dan kemahiran"
Hari ini, 27 April 2011 (Rabu) aku menyedari bahawa dalam masa kurang dari sebulan aku bakal menjejakkan kaki ke ALAM PENDIDIKAN yang penuh dengan cabaran. setelah enam semester pengajian kulalui, bersama teman-teman seperjuangan, akhirnya kami berada pada usia matang. Bakal menunjukkan hasil selama tiga tahun berhempas pulas di persada pendidikan.

Mungkin bagi mereka yang tidak menjalani pengajian seperti aku dan kawan-kawan, melangkah ke dunia pendidikan bergelar Guru Pelatih merupakan suatu yang biasa. Namun ketahuilah ia merupakan saat paling genting. Mampukah aku dan kawan-kawan menunjukkan dan mengaplikasikan segala ilmu yang ditanam di dalam dada dengan sebaik-baiknya. Ya Allah..Ya Rabbul 'Izzati..Permudahkan kami.

Tanggal 08hb dan 09hb Mei bakal menjadi satu titik baru dalam lipatan sejarah hidup aku dan teman-teman. Bermulanya satu pengembaraan yang sungguh mencabar. Memerlukan kekuatan mental dan fizikal serta rohani yang mantap. Guru, Cikgu, Ustaz,Ustazah atau apa pun gelaran yang bakal aku dan teman-teman perolehi bukanlah kayu pengukur yang membezakan kami. Hanya gelaran PENDIDIK yang menjadi amanah di bahu-bahu kami.

Semoga bermulanya pengembaraan itu akan mengukuhkan dan menguatkan lagi hati-hati kami, memberikan kami pengalaman baru,dan mendidik kami menjadi PENDIDIK yang bakal mendidik anak-anak bangsa kelak. Bermulanya pengembaraan itu jugalah akan menentukan benar tidaknya kami sebagai PENDIDIK.

* * * * * * * * *

Aku mungkin bukan seorang PENDIDIK yang sempurna. Namun bagiku cukuplah langkahku sebagai MUSAFIR ILMU terus berjuang memartabatkan dan menyebarkan ilmu yang kumiliki walau hanya sebesar zarah.