BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, January 28, 2010

Apa itu Web 2.0??

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

1.0 Definisi “Web 2.0”

Web 2.0” (2004 hingga sekarang) adalah satu istilah yang terkenal bagi kemajuan teknologi internet dan aplikasi-aplikasinya seperti “blog”, “Wikipedia”, RSS (really simple syndication) dan “bookmarking social”. Aplikasi-aplikasi web tersebut merupakan aplikasi-aplikasi yang memudahkan perkongsian maklumat secara interaktif dan kolaborasi di dalam “World Wide Web”. “Web 2.0” ini juga merupakan sebuah halaman yang membolehkan para pengguna berinteraksi dengan pengguna-pengguna lain. Selain itu para pengguna juga boleh mengubah kandungan laman web. Hal ini berbeza dengan “non-interaktif website” yang mana pengguna hanya boleh melihat maklumat yang diberikan kepada mereka.
Istilah tersebut juga berkait rapat dengan Tim O’Reilly kerana pada tahun 2004 telah diadakan satu persidangan mengenai konsep dan isu-isu “Web 2.0” oleh O’Reilly Media dan MediaLive International. Istilah ini juga digunakan untuk menunjukkan versi baru bagi “World Wide Web” yang juga diistilahkan sebagai “Web 1.0”.

Rujukan:
http://en.wikipedia.org/wiki/Web_2.0
whatis.techtarget.com/definition/0,,sid9_gci1169528,00.html


2.0 Ciri-ciri “Web 2.0”

Berdasarkan beberapa sumber rujukan daripada internet, didapati ciri-ciri bagi “Web 2.0” adalah seperti berikut:

• Blog
• AJAX (Asynchronous Javascript And XML) dan teknologi-teknologi baru yang lain
Google Base dan perkhidmatan-perkhidmatan web percuma
• RSS (really simple syndication)
Bookmark sosial
• Wikipedia dan aplikasi-aplikasi yang lain
• Dinamik (fleksibel) berbanding dengan kandungan halaman yang static
• Ensiklopedia dan kamus interaktif
• Kemudahan membina, mengubahsuai atau membuang data oleh individu pengguna
• Permainan yang lebih maju
• Pengasingan dan pengformatan
• Pengguna boleh mengangkat satu-satu artikel

Walaupun “Web 2.0” ini lebih memudahkan pengguna, namun ada beberapa pihak yang mengkritiknya dan menyatakan bahawa terdapat kesan-kesan negatif daripada kemudahan tersebut kepada kredibiliti, etika dan kandungan web. Bagi pembela “Web 2.0” pula, mereka menyatakan bahawa kesan-kesan atau masalah seperti itu telah lama wujud. Manakala bagi beberapa pakar industri, mereka berpendapat bahawa “Web 2.0” hanyalah sebuah tahap peralihan daripada “World Wide Web” (Web 1.0) kepada tahap yang lebih kukuh yang mana dinamakan pula sebagai “Web 3.0”.

Rujukan :
http://en.wikipedia.org/wiki/Web_2.0
href="http://whatis.techtarget.com/definition/0,,sid9_gci1169528,00.html">http://whatis.techtarget.com/definition/0,,sid9_gci1169528,00.html
http://hasbullah.pit.my/2008/09/apa-yang-anda-faham-tentang-web-2.0.html


3.0 Kelebihan dan kekurangan "Web 2.0"

3.1 Kelebihan “Web 2.0”

Berdasarkan sumber-sumber rujukan yang saya telah baca, kelebihan Web 2.0 antaranya adalah pada kegunaannya yang bersifat interaktif. Hal tersebut membolehkan pengguna secara langsung atau terus berkongsi apa juga maklumat dengan pengguna lain selain dapat berinteraksi bersama dan terlibat secara langsung dengan kegiatan yang sedang berlangsung di dalam web tersebut.

Rujukan:
http://blog.unvinged.com/tag/web-2.0/

Selain itu, Web 2.0 juga membolehkan semua pengguna saling memberi dan memasukkan maklumat sehingga berlaku pengumpulan informasi yang banyak seperti wikipedia. Demokrasi dalam alam digital juga berlaku kerana tidak ada larangan untuk menulis apa pun sebagai suatu informasi. Dengan itu, pengguna dengan mudah boleh mendapat dan mengumpulkan maklumat yang diperlukan dengan lengkap. Contoh yang paling biasa dan diketahui ialah seperti surat khabar online.

Rujukan:
http://yanto.staff.ugm.ac.id/?p=43

3.2 Kekurangan "Web 2.0"

Secara umumnya kekurangan Web 2.0 adalah kerana sifat terbukanya yang membolehkan pengguna meletakkan data pada server dengan mudah. Jika berlaku masalah seperti sistem down, pengguna tidak akan dapat menuntut atau mencari data tersebut. Selain daripada itu, Web 2.0 juga menyebabkan kebergantungan pengguna terhadap internet meningkat sehingga tidak dapat mencari alternatif lain jika internet bermasalah atau terputus.
Kekurangan Web 2.0 juga termasuk kesan negatif akibat sifat keterbukaan web tersebut. Pengguna dengan mudah boleh berhubung dan bertukar-tukar data sehingga hak cipta sesuatu produk juga dengan mudahnya dilanggar dan dicabuli.

Rujukan:
http://yanto.staff.ugm.ac.id/?p=43

4.0 PERBEZAAN WEB 1.0 BERBANDING WEB 2.0

 Web 1.0 adalah mengenai pembacaan V/S Web 2.0 adalah mengenai penulisan.
 Web 1.0 adalah tentang syarikat V/S Web 2.0 adalah tentang masyarakat.
 Web 1.0 adalah client-server V/S Web 2.0 adalah tentang rakan-rakan.
 Web 1.0 adalah tentang HTML V/S Web 2.0 adalah tentang XML.
 Web 1.0 adalah tentang laman utama V/S Web 2.0 adalah tentang blog.
 Web 1.0 adalah tentang portal V/S Web 2.0 adalah tentang RSS.
 Web 1.0 adalah tentang taksonomi V/S Web 2.0 adalah tentang tag.
 Web 1.0 adalah tentang kabel V/S Web 2.0 adalah tentang wayarless.
 Web 1.0 adalah tentang pemilikan V/S Web 2.0 adalah tentang pemkongsian.
 Web 1.0 adalah tentang IPO V/S adalah tentang perdagangan.
 Web 1.0 adalah tentang Netscape V/S Web 2.0 adalah tentang Google.
 Web 1.0 adalah tentang boring web V/S Web 2.0 adalah tentang aplikasi web.
 Web 1.0 adalah dialup V/S Web 2.0 adalah broadband.
 Web 1.0 adalah mengenai kos hardware V/S Web 2.0 adalah mengenai kos bandwith.

Rujukan :
http://joedrumgoole.com/blog/2006/05/29/web-20-vs-web-10/

Monday, January 25, 2010

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ni..

"Sebuah perkongsian dan santapan jiwa"

[Khutbah terakhir Rasulullah SAW]

"ASSALAMU'ALAIKUM......

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan belemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya. nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu..."

[Peringatan buat diriku sebagai seorang hamba Allah dan "MUSAFIR ILMU" serta sesiapa yang membaca post ini]

Wednesday, January 20, 2010

Sebuah harapan..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ni..

"Sekadar nukilan sebuah harapan dari nurani blogger ini"
Setiap hari yang kulalui di kampus sungguh pantas berlalu. Bagaikan sukar untukku menikmati hari ini, hari esok menjelma pula. Dalam kesibukkanku dengan pelbagai tugasan, aku tidak pernah melupakan seseorang. Aku amat menyayanginya. Hanya dia seorang yang kumiliki. Dia bukanlah seorang kekasih mahupun pujaan hati. Namun, dia sentiasa menjadi ingatanku memandangkan aku hanya memilikinya.

Kini dia tidak lagi berada di alam persekolahan. Tahun 2009 adalah tahun akhir baginya berada di sekolah menengah. Aku tidak sempat mengetahui banyak tentangnya pada tahun akhir itu memandangkan aku hanya berhubung dengannya pada cuti sekolah sahaja. Walaupun begitu, bukan bermakna aku tidak mengambil berat tentang dirinya. Setiap hari aku pasti akan mengingatinya. Aku juga sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya.

Mungkin tidak banyak yang perlu aku ungkapkan mengenainya memandangkan jantina dan usiaku dengannya amat berbeza. Begitu juga dari segi perwatakan dan minat masing-masing. Namun bagiku itu semua adalah fitrah insani. Darah yang mengalir di dalam tubuhnya denganku juga sama.



[Dua dari kiri: Yusuf bin Lahadi]

Dialah satu-satunya adikku. Aku tidak memiliki adik selain dia. Aku amat menyayanginya. Walaupun kehidupan harianku di sini amat terikat dengan pelbagai tugasan, namun bagiku beberapa detik untuk memikirkan tentangnya tetap menjadi suatu kemestian. Dari pemikiranku itulah aku menyimpan sebuah harapan. Aku amat berharap dia juga mampu mencapai impiannya walau di mana jua.

Hari terus berlalu dan aku yakin dia pasti mulai runsing memikirkan keputusan peperiksaannya yang akan keluar beberapa bulan sahaja lagi. Aku akan mendoakan agar dia mendapat yang terbaik. Ingin sekali aku meluangkan masa untuk menghubunginya namun kukekang diri ini memandangkan tugasanku mulai bertambah dan perlu disiapkan dalam kadar segera.

* * * * * * *

Aku bukanlah insan sempurna yang memiliki segala-galanya. Namun aku tetap mmempunyai sebuah harapan untuknya. Aku berharap dia juga akan manjadi "MUSAFIR ILMU" sepertiku. Aku berharap agar saat itu akan menjelma kerana ia bukan sahaja suatu saat yang amat menyenangkan bagiku, tetapi juga bagi kedua permata hatiku, ayah dan ibu.

Monday, January 18, 2010

Impian Lama Kukuburkan,,Perjuanganku Kini di Tanah Airku Sendiri..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ni..

"Sekadar sebuah monolog dari kalbu blogger ini." Entah mengapa hari ini kuterkenang kembali suatu detik yang agak manis buatku. Ketika itu aku baru sahaja mendapat natijah imtihan (keputusan peperiksaan) "Syahadah ad-Diniyyah al-'Aliyah al-Maliziyyah" (Sijil Tinggi Agama Malaysia). Keputusanku tidaklah sehebat sahabat-sahabatku. Namun kutetap bersyukur kerana masih mampu membuat kedua orang tuaku tersenyum gembira.

Pada hari diumumkan keputusan itu, aku hanya membuat panggilan ke sekolah untuk bertanyakan tentang tentang keputusanku memandangkan sekolahku berada jauh dari tempat tinggalku. Aku agak kecewa kerana sekolahku menghadapi sedikit masalah dan hanya dapat memperoleh keputusan keseluruhan dari Jabatan Pelajaran pada keesokan harinya. Aku sedikit bersyukur kerana pada ketika itu aku masih berpeluang memanjatkan doa agar keputusan yang kuperolehi tidak mengecewakan sesiapa.

Keesokan harinya, aku dengan seorang sepupuku pergi ke sekolah dengan menaiki kereta ayahku. Agak gementar juga ketika tiba di perkarangan sekolah. Namun aku teruskan langkahku dan menuju ke pejabat am sekolahku itu. Memandangkan pada ketika itu sekolah sedang bercuti, hanya beberapa orang guru sahaja yang ada di situ. Aku bersama sepupuku menemui kerani sekolah untuk mengambil salinan keputusan itu. Aku bersyukur. Walaupun aku bukanlah pelajar terbaik pada masa itu.

Sejurus selepas kuterima keputusan itu, aku berfikir seketika. Aku ternyata ingin meneruskan pengajianku di sebuah universiti luar negara (Universiti al-Azhar, Mesir). Walaupun keputusanku tidaklah sehebat mana. Akan tetapi masih layak untuk meneruskan pengajianku di sana. Aku mengambil kesempatan pada hari itu untuk bertemu dengan mudir (Pengetua) sekolahku dan bertanyakan tentang hal itu. Ternyata akulah pelajar pertama yang bertanyakan tentang itu setelah keputusan diumumkan. Pengetuaku menjelaskan sedikit mengenai pengurusan untuk melanjutkan pengajian ke situ.

Setelah mendengar sedikit penjelasan itu, pengetua meminta agar aku dan sahabat-sahabat yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Mesir bersepakat untuk menguruskan segala dokumen-dokumen yang perlu secara berjemaah (bersama-sama). Aku mula menghubungi sahabat-sahabat yang berhasrat sepertiku. Ternyata ramai juga yang menyimpan niat sepertiku.

Setelah berhubung dengan semua sahabat-sahabatku itu, kami bersepakat pada suatu tarikh untuk datang ke sekolah dan menumpang di sekolah itu sementara menguruskan segala dokumen yang diperlukan memandangkan lokasi sekolah itu lebih hampir dengan pusat pentadbiran negeri berbanding daerah-daerah tempat tinggalku dan sahabat-sahabatku.

Kami dengan penuh kesabaran menguruskan segala dokumen walaupun agak sukar. Masihku ingat saat itu, seorang ustaz (al-Fadhil al-Ustaz Abidin bin Omar)yang kini telah kembali ke rahmatulLah (02 Januari 2010) banyak membantu kami pada ketika itu memandangkan anak perempuannya yang juga salah seorang daripada sahabatku semasa di sekolah menengah mempunyai niat yang sama denganku.

Setelah semua urusan yang penting selesai, aku kembali ke rumah dan hanya menunggu khabar daripada sahabatku mengenai permohonan melanjutkan pengajian ke luar negara itu. Di samping itu, aku juga sempat mengisi permohonan melanjutkan pengajian di universiti tempatan. Tidak lama setelah selesainya urusan-urusan penting itu, sahabat-sahabatku menghubungiku untuk memaklumkan mengenai keputusan untuk menduduki ujian MEdSI yang baru sahaja dikeluarkan.

Pada saat itu hatiku mula berbelah bagi. Perlukah aku menyemak keputusan itu, ataukah lebih baik jika aku langsung tidak mengetahui tentangnya. Namun, aku dengan sepenuh hati cuba menuruti kemahuan ibuku yang menyuruhku menyemak keputusan itu. Ternyata aku di antara calon yang layak menduduji ujian itu. Pada masa yang sama juga 2 orang sepupuku turut mendapat keputusan yang sama.

Aku bagaikan tidak mahu menghadiri ujian itu. Akan tetapi kuteruskan jua demi kedua ibu bapaku. Pada hari ujian itu, aku dihantar oleh ayahku. Seorang daripada sepupuku tadi juga pergi bersamaku pada hari itu. Aku tidak tahu apa yang aku inginkan saat itu. Hanya yang kubayangkan bumi anbiya' yang sedang menanti nun jauh di sana. Aku sempat berdoa agar Allah bukakan jalan yang terbaik buat diriku. Akhirnya ujian itu telah kulalui.

Aku meneruskan hari-hariku dengan impian yang tinggi. Aku banyak berhubung dengan sahabat-sahabatku dan berkongsi impian yang sama. Hari berlalu tanpa kusedari. Sehingga aku hampir terlupa pada ujian yang telah kulalui.

Pada suatu senja aku terlelap seketika di hadapan televisyen. Sesungguhnya hari itu hari yang tidak akan kulupai hingga ke hari ini. Aku dikejutkan dengan panggilan seorang sahabatku. Sahabatku itu memaklumkan kepadaku bahawa keputusan untuk melanjutkan pengajian ke universiti tempatan telah pun dikeluarkan. Aku cuba untuk tidak memaklumkan pada orang rumahku dengan harapan tidak ada sesiapa yang tahu keputusanku. Namun, Allah lebih Bijaksana. Aku tidak dapat lari daripada ketentuan-Nya.

Malam itu, ibu dan abangku menyemak keputusan itu. Aku hanya berdiam diri di bilik. Aku khuatir tidak dapat meneruskan citaku. Dengan suara yang agak perlahan ibuku memanggilku dari ruang tamu. Aku diberitahu bahawa aku berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti tempatan. Aku hampir menitiskan airmata. Bagaimana harusku terima semua itu, sedangkan hatiku telah lama terbang ke bumi anbiya.

Ibuku memujukku dengan pelbagai cara. Aku tidak dapat menolak sedikitpun kehendak ibuku. Memandangkan seorang kakakku juga sedang menuntut di sebuag Institut Pendidikan Guru, ibuku berbesar hati agar aku juga meneruskan langkah seperti kakakku itu.

Setelah saat itu, aku cuba mengubah pendirianku. Aku harus menerima segala kemahuan ibuku. Memang pada saat itu aku terlalu akrab dengan ibuku sehingga aku tidak berani untuk menidakkan permintaannya.

Demi ibuku, aku kuburkan impianku.

* * * * * * * * *

Aku hanya sekadar menjadikan impian yang telah terkubur itu di antara pendorong buat diriku. Kini sahabat-sahabatku telah berpijak di bumi anbiya itu. Aku tidak kesal, namun aku masih mengenangkannya. Perjuanganku mungkin tidak sejauh dan sehebat sahabat-sahabatku. Akan tetapi ia masih tetap suatu perjuangan. Aku menerima dan meneruskan perjuanganku di tanah air tercinta ini sedaya yang mampu. Aku mungkin bukan musafir di bumi anbiya. Namun bagiku, cukuplah aku menjadi "MUSAFIR ILMU" di tanah airku sendiri.

Sunday, January 17, 2010

Hari-hari gentingku,,hanya memori,,atau akan berulang kembali..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ni..

Sekadar ingin mengimbau kembali suatu saat paling genting dalam hidupku. Saat itu aku sedang bercuti sebelum memasuki pengajianku di semester yang baru. Masihku ingat hari pertama doktor menyatakan kepadaku tentang kondisi kesihatanku, 26 Mei 2009. Aku bagaikan tidak mahu meneruskan pengajianku saat itu. Namun aku cuba mencari semangat buat diriku. Dan yang kutemui adalah wajah kedua orang tuaku.

Hari-hari yang kulalui mulai menjadi suram dan kuarng mengenakkan. Aku mudah tersentuh. Gelak tawa adik-beradikku menambahkan keperitan di lubuk hatiku. Hati manusia mana yang tak berasa perit bila ditimpa sesuatu yang boleh mengubah suatu kehidupan. Namun kupujuk jua hati ini untuk tidak menyatakannya kepada mereka. Aku cuba untuk tidak berasa gentar walaupun hari yang paling kutakuti bakal tiba.

Malam sebelum aku kembali ke hospital dan menjalani pembedahan, aku seperti biasa tidur bersama anak buahku yang paling hampir denganku, Izzati. Aku mulai risau pada malam itu. Bagaimana harusku tempuhi hari esok. Kutatapi wajah anak buahku dalam-dalam. Dia masih kecil dan belum mengerti. Pasti hari esok dia akan bertanya kemana perginya aku. Walaupun agak sukar untukku lelapkan mata pada malam itu, namun kugagahi jua.

Seawal jam empat pagi aku bangun untuk bersiap. Waktu subuh agak lama lagi. Aku menikmati sunyi pagi seorang diri di ruang tamu rumahku. Selepas bersolat, aku tidak minum mahupun makan walau sedikitpun. Kukira hari itu aku akan menjalani pembedahan dan perlu berpuasa mengikut saranan doktor.

Aku ditemani kedua orang tuaku ke hospital pada pagi itu. Seperti hari sebelum itu, aku bertemu doktor yang sama. Aku dihantar ke wad pesakit wanita. Kulihat ramai juga pesakit pada ketika itu. Namun tidak seorang pun yang seusia denganku. Mungkin mereka lebih sesuai kugelar makcik. Aku mula tidak keruan. Kegelisahan menyelubungi diriku sehingga pandanganku terarah kepada seorang kanak-kanak perempuan yang baru sahaja menjalani pembedahan jantung. Aku kembali bersemangat. Masakan kanak-kanak kecil boleh menghadapinya sedangkan aku tidak.

Aku dikejutkan daripada bicara hatiku dengan sapaan seorang jururawat yang sedang menjalani praktikal. Kulihat dia seakan-akan seusia denganku. Jangkaanku tepat apabila dia menyatakan sedikit tentang dirinya dalam perbualan pendek denganku. Bijak juga jururawat tersebut memancingku agar tidak merasa sakit ketika diambil darah.

Setelah beberapa lama akau berada di dalam wad itu, seorang jururawat lagi datang memberitahuku bahawa akau akan dibedah pada keesokan harinya. Memandangkan demikian, aku mengalas perutku dengan sedikit makanan yang diberikan oleh ibuku. Setelah itu kedua orang tuaku pun berlalu pergi dan meninggalkanku seorang diri di wad. Aku sekadar tidak mahu menyusahkan sesiapa. Pada malam itu, aku tidur berseorangan tanpa ditemani sesiapa. Itulah hari pertamaku tidur di wad berseorangan. Aku mulai nyenyak setelah membuat panggilan kepada seorang sahabatku yang selalu mengambil berat tentang diriku.

Suasana di dalam wad memang terlalu sunyi pada waktu malam.Tidurku juga tidak terganggu. Hanya apabila seorang jururawat datang kepadaku pada jam12 malam untuk memberikan aku dua biji ubat. Aku agak tidak senang pada ketika itu kerana aku memang susah menerima ubat-ubatan. Oleh kerana aku bersendirian, kubulatkan azamku untuk menelan ubat itu. Lenaku tenang kembali.

Suasana di wad agak pelik bagiku. Seawal sebelum subuh jururawat sudah mulai ke hulu ke hilir. Aku bergegas bangun dan membersihkan diriku. Aku diberikan baju persalinan untuk masuk ke balai pembedahan. Seram juga seluruh badanku dengan persalinan itu. Apa tidaknya, persalinan bagaikan jubah putih. "MAUT" itu yang kubayangkan saat itu. Aku berasa sedikit lapar, namun ketika itu aku ditegah untuk makan dan minum.

Aku agak risau pada pagi itu memandangkan surat kebenaran pembedahanku belum ditandatangani oleh warisku. Banyak panggilan kulakukan. Akhirnya Kedua orang tuaku tiba juga menjelang jam sembilan pagi. Aku lega buat seketika. Namun entah mengapa diriku pada saat itu. Jururawat menyatakan keadaan darahku agak membimbangkan. Dengan spontan aku teringat zaman sekolah menengah dulu. Aku di antara pelajar yang tidak boleh mendermakan darah kerana darahku hanya terlalu kurang. Aku hanya berserah pada ketika itu.

Jam satu petang, giliranku untuk masuk ke balai pembedahan. Tudung penutup kepalaku dibuka oleh jururawat dan digantikan dengan kain khas. Aku hanya menuruti segala yang diperlakukan pada diriku. Ketika aku berbaring di atas katil yang ditolak oleh beberapa orang jururawat, sempatku memandang wajah kakak-kakakku yang berada di tepi. Aku terkilan.

Setibanya aku di balai pembedahan, ibuku tidak dapat lagi menemaniku.Aku hanya bersendirian. Saat itu kulihat dua orang doktor, dua orang pembantu, dan dua orang jururawat sedang membuat persiapan peralatan untuk pembedahanku. Aku agak berasa hairan kerana di dalam bilik pembedahan itu dimainkan lagu-lagu yang agak menyenangkan walaupun tidak berunsurkan agama (ketenanagan buat hati yang gelisah).

Sebelum pembedahan dijalankan, seorang pembantu memberikan suntikan kepadaku. Kuingat lagi pertanyaannya "adik tak rasa mengantuk?". Saya empat menjawab "tidak". Dan setelah itu aku sedar yang aku tidak dapat bernafas. Rupanya pembedahan yang amatku geruni telah selesai. Cuma pada ketika itu, doktor dan beberapa ornag jururawat agak risau memangangkan tekanan darahku terlalu rendah. Aku menyedarinya walaupun saat itu aku masih tidak mampu bangun akibat suntikan.

Aku hanya dikeluarkan daripada balai pembedahan setalah tiga jam berlalu. Memang amat perit, sakit, seksa dan macam-macam. Aku tidak berdaya pada ketika itu. Hanya yang mampuku lafazkan "mak". Terus terang, pada saat itu kuingin menyebut nama Yang Esa. Namun apalah kudratku. Aku mulai tidak ingat an sedar apa yang berlaku selepas itu.

Pada malamnya aku ditemani seorang kakakku. Aku masih lemah dan tidak mampu berbual. Hanya terbaring dan kaku di atas katil. Kuringkaskan pengalamanku ini, dan akhirnya aku kembali ke rumah. Banyak perkara lagi yang berkaitan dengan kesihatanku. Aku cuba abaikan demi pengajianku.

* * * * * *

Setelah beberapa lama, ku mulai rasa apa yang ku rasakan dulu. Aku yakin, ia adalah apa yang ku rasakan dulu. Namun aku bukanlah seorang doktor. Aku hanya teringat memori saat paling genting dalam hidupku. Hanya sebuah memori. Kuharap ia hanya akan tinggal memori dan tidak akan berulang kembali. Aku masih belum puas bermusafir di bumi Allah ini.

Detik-detik Terakhir Kehidupan Insan Mulia

Daripada Ibnu Mas’ud ra bahawasanya ia berkata: Ketika ajal Rasulullah SAW sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aisyah ra.
Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda:“Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah.”

Allah berfirman: “Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat. Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa.”

Kemudian kami bertanya: “Bilakah ajal baginda ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadhrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila’ la.”

Kami bertanya lagi: “Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah? Rasulullah menjawab: Salah seorang ahli bait. Kami bertanya: Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah?

Baginda menjawab: “Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah.”

Kami bertanya: “Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?” Kami menangis dan Rasulullah SAW pun turut menangis.

Kemudian baginda bersabda: “Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku, kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya. Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua.”

Semakin Tenat
Semenjak hari itulah Rasulullah SAW bertambah sakitnya, yang ditanggungnya selama 18 hari, setiap hari ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, di saat baginda menghembus nafas yang terakhir.

Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius. Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya, ia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam: “Assalamualaikum ya Rasulullah?” Kemudian ia berkata lagi “Assolah yarhamukallah.”

Fatimah menjawab: “Rasulullah dalam keadaan sakit?” Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid, ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu ia berkata seperti perkataan yang tadi. Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh ia masuk.

Setelah Bilal bin Rabah masuk, Rasulullah SAW bersabda: “Saya sekarang dalam keadaan sakit, Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat.”

Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata: “Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?” Kemudian ia memasuki masjid dan berkata kepada Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut.

Ketika Abu Bakar ra melihat ke tempat Rasulullah yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, ia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu ia menjerit dan akhirnya ia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah SAW. Baginda bertanya: “Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu? Siti Fatimah menjawab: Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah SAW tidak ada bersama mereka.”

Kemudian Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abi Thalib dan Abbas ra, sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda solat dua rakaat, setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda: “Ya ma’aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah, sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT, kerana aku akan meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini.”

Malaikat Maut Datang Bertamu
Pada hari esoknya, iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya ia turun menemui Rasulullah SAW dengan berpakaian sebaik-baiknya. Dan Allah menyuruh kepada Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah SAW dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka ia dibolehkan masuk, namun jika Rasulullah SAW tidak mengizinkannya, ia tidak boleh masuk, dan hendaklah ia kembali sahaja.

Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Ia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah SAW, Malaikat Maut itupun berkata: “Assalamualaikum Wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!” Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu: “Wahai Abdullah (Hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit.”

Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi: “Assalamualaikum. Bolehkah saya masuk?” Akhirnya Rasulullah SAW mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah: “Siapakah yang ada di muka pintu itu? Fatimah menjawab: “Seorang lelaki memanggil baginda, saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian ia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma.”

Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia?” Fatimah menjawab: “Tidak wahai baginda.” Lalu Rasulullah SAW menjelaskan: “Wahai Fatimah, ia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Masuklah, Wahai Malaikat Maut. Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan ‘Assalamualaika ya Rasulullah.” Rasulullah SAW pun menjawab: Waalaikassalam Ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?”

Malaikat Maut menjawab: “Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan, kalau tidak, saya akan pulang.

Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril? “Saya tinggal ia di langit dunia?” Jawab Malaikat Maut.

Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril as datang kemudian duduk di samping Rasulullah SAW. Maka bersabdalah Rasulullah SAW: “Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat? Jibril menjawab: Ya, Wahai kekasih Allah.”

Ketika Sakaratul Maut
Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: “Beritahu kepadaku Wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya? Jibril pun menjawab; “Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu.”

Baginda SAW bersabda: “Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku? Jibril menjawab lagi: Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu.”

Baginda SAW bersabda lagi: “Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang di sediakan Allah untukku? Jibril menjawab: Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti.”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Segala puji dan syukur, aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku?”

Jibril as bertanya: “Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan? Rasulullah SAW menjawab: “Tentang kegelisahanku, apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?”

Jibril menjawab: “Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu.”

Maka berkatalah Rasulullah SAW: “Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku?” Lalu Malaikat Maut pun berada dekat Rasulullah SAW.

Ali ra bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya? Rasulullah menjawab: Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga.

Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata: “Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut.”

Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril as memalingkan mukanya. Lalu Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku? Jibril menjawab: Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?” Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah SAW.

Kesedihan Sahabat
Berkata Anas ra: “Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah ra aku dengar ia sedang menangis, sambil mengatakan: Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai sutera. Wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum. Wahai orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana. Wahai orang yang jarang tidur di waktu malam kerana takut Neraka Sa’ir.”

Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Mu’az bin Jabal ra telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang, kemudian orang itu berkata kepadaku: “Apakah anda masih lena tidur juga wahai Mu’az, padahal Rasulullah SAW telah berada di dalam tanah.”

Mu’az terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu ia mengucapkan: “A’uzubillahi minasy syaitannir rajim?” Setelah itu ia lalu mengerjakan solat.

Pada malam seterusnya, ia bermimpi seperti mimpi malam yang pertama. Mu’az berkata: “Kalau seperti ini, bukanlah dari syaitan?” Kemudian ia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian penduduk Yaman.

Pada esok harinya orang ramai berkumpul, lalu Mu’az berkata kepada mereka: “Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah SAW bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku. Setelah Mu’az menerima Mushaf, lalu dibukanya maka nampaklah firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula?”
(Az-Zumar: 30).

Maka menjeritlah Mu’az, sehingga ia tak sedarkan diri. Setelah ia sedar kembali, ia membuka Mushaf lagi, dan ia nampak firman Allah yang berbunyi:
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?”
(Ali-lmran: 144)

Maka Mu’az pun menjerit lagi: “Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad?” Kemudian ia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika ia akan meninggalkan penduduk Yaman, ia berkata: “Seandainya apa yang kulihat ini benar. Maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala.”

Kemudian ia berkata: “Aduhai sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad SAW?” Lalu iapun pergi meninggalkan mereka. Di saat ia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah, yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud:
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati.”

Lalu Mu’az mendekati sumber suara itu, setelah berjumpa, Mu’az bertanya kepada orang tersebut: “Bagaimana khabar Rasulullah SAW? Orang tersebut menjawab: Wahai Mu’az, sesungguhnya Muhammad SAW telah meninggal dunia. Mendengar ucapan itu Mu’az terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya, ia memanggil Mu’az: Wahai Mu’az sedarlah dan bangunlah.”

Ketika Mu’az sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar Assiddik, dengan cop dari Rasulullah SAW. Tatkala Mu’az melihatnya, ia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya, kemudian ia menangis dengan tersedu-sedu.

Setelah puas ia menangis iapun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah.
Mu’az sampai di Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan: “Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah?” Mu’az menyambungnya: “Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah?” Kemudian ia menangis dan akhirnya ia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.

Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy ra lalu ia berkata kepada Bilal: “Wahai Bilal sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya, ia adalah Mu’az yang sedang pengsan.

Ketika Bilal selesai azan, ia mendekati Mu’az, lalu ia berkata: “Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Mu’az, aku telah mendengar dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Sampaikanlah salamku kepada Mu’az.”

Maka Mu’az pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang menyangka bahawa ia telah menghembus nafas yang terakhir, kemudian ia berkata: “Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah ra.”

Ketika sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Mu’az mengucapkan: “Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh?” Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, ia berkata: “Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah. Kemudian Mu’az menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan: “Assalamualaikum ya ahli bait.”

Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian ia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Mu’az bin Jabal, ia adalah kekasih Rasulullah SAW.”

Kemudian Fatimah berkata lagi: “Masuklah wahai Mu’az?” Ketika Mu’az melihat Siti Fatimah dan Aisyah ra ia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Ketika ia sedar, Fatimah lalu berkata kepadanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Mu’az dan khabarkan kepadanya bahawasanya ia kelak di hari kiamat sebagai imam ulama.”

Kemudian Mu’az bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah SAW.

Thursday, January 14, 2010

laman sufie

Salam.. 14 Januari 2010 terbinanya sebuah blog pertama buat diriku.. ^_^'