BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, May 23, 2011

Sebuah Mandat..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Biar kecil susuk tubuh, biar berduri ranjau ditempuh, biar bergunung bukit didaki, biar amanah semua dilunasi..

Berkeringat aku setibanya di sekolah. Berjalan di tengah terik mentari membuatku merasakan betapa jauhnya sekolah dari rumah sewaku, sedangkan jika dihitung masa dan perjalanan jaraknya tidaklah jauh. Aku bergegas ke bilik mesyuarat bersama sahabat-sahabat praktikum yang terlibat dengan majlis persaraan yang akan diadakan pada 26 mei ini.

Sesampainya di hadapan bilik mesyuarat, kulihat pintu masih tertutup dan ternyata ia masih terkunci. Alangkah geramnya hatiku tatkala itu. Aku bersabar seketika dan menunggu guru-guru yang terlibat dengan mesyuarat itu tiba. Setelah beberapa minit, kami dimaklumkan bahawa pengerusi dan setiausaha tidak dapat menghadirkan diri dan mesyuarat terpaksa ditangguhkan esok.

Dengan redha kami turun dari bilik mesyuarat yang terletak di tingkat 3 blok tersebut dan singgah ke bilik peperiksaan untuk mengambil kertas soalan yang akan diberikan kepada kelas mengikut jadual yang ditetapkan. Sambil menunggu kertas soalan, penyelia petang datang menemuiku dan meminta aku dan sahabat paraktikum sesi petang untuk berjumpa dengannya selepas itu.

Setelah mendapatkan kertas soalan, aku dan sahabatku pergi menemuinya. Antara perkara yang dimaklumkan kepada kami ialah mengenai jadual dan guru pembimbing sepanjang menjalani latihan mengajar di sekolah itu. Aku diberikan 12 masa mengajar yang mana aku diamanahkan mengajar kelas tingkatan 2C dan juga 1G.

Alhamdulillah aku bersyukur kerana pelajar-pelajar di kelas tersebut walaupun agak sedikit nakal tetapi masih boleh mendengar kata-kata guru jika dibandingkan dengan sesetengah kelas yang lain. Namun begitu, bukan itu yang inginku perkatakan. Apa yang penting bagiku ialah menunaikan amanah atau mandat yang diberikan oleh pihak sekolah kepadaku dengan sebaik mungkin.

Betapa susah dan banyak ujian yang harusku hadapi sepanjang menjalani latihan mengajar akanku jadikan sebagai pengalaman dan bekalanku apabila melangkah ke sekolah sebagai guru kelak. Aku tidak akan pernah jemu berusaha dan berdoa agar aku sentiasa diberikan kekuatan, ketabahan, kecekalan, dan keredhaan daripada Allah.

* * * * * * * * * * * *

Sebuah mandat buat MUSAFIR ILMU yang harus dilunasi di kembaranya sebagai musafir yang sedang berjuang.

0 comments: