BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, January 18, 2010

Impian Lama Kukuburkan,,Perjuanganku Kini di Tanah Airku Sendiri..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ni..

"Sekadar sebuah monolog dari kalbu blogger ini." Entah mengapa hari ini kuterkenang kembali suatu detik yang agak manis buatku. Ketika itu aku baru sahaja mendapat natijah imtihan (keputusan peperiksaan) "Syahadah ad-Diniyyah al-'Aliyah al-Maliziyyah" (Sijil Tinggi Agama Malaysia). Keputusanku tidaklah sehebat sahabat-sahabatku. Namun kutetap bersyukur kerana masih mampu membuat kedua orang tuaku tersenyum gembira.

Pada hari diumumkan keputusan itu, aku hanya membuat panggilan ke sekolah untuk bertanyakan tentang tentang keputusanku memandangkan sekolahku berada jauh dari tempat tinggalku. Aku agak kecewa kerana sekolahku menghadapi sedikit masalah dan hanya dapat memperoleh keputusan keseluruhan dari Jabatan Pelajaran pada keesokan harinya. Aku sedikit bersyukur kerana pada ketika itu aku masih berpeluang memanjatkan doa agar keputusan yang kuperolehi tidak mengecewakan sesiapa.

Keesokan harinya, aku dengan seorang sepupuku pergi ke sekolah dengan menaiki kereta ayahku. Agak gementar juga ketika tiba di perkarangan sekolah. Namun aku teruskan langkahku dan menuju ke pejabat am sekolahku itu. Memandangkan pada ketika itu sekolah sedang bercuti, hanya beberapa orang guru sahaja yang ada di situ. Aku bersama sepupuku menemui kerani sekolah untuk mengambil salinan keputusan itu. Aku bersyukur. Walaupun aku bukanlah pelajar terbaik pada masa itu.

Sejurus selepas kuterima keputusan itu, aku berfikir seketika. Aku ternyata ingin meneruskan pengajianku di sebuah universiti luar negara (Universiti al-Azhar, Mesir). Walaupun keputusanku tidaklah sehebat mana. Akan tetapi masih layak untuk meneruskan pengajianku di sana. Aku mengambil kesempatan pada hari itu untuk bertemu dengan mudir (Pengetua) sekolahku dan bertanyakan tentang hal itu. Ternyata akulah pelajar pertama yang bertanyakan tentang itu setelah keputusan diumumkan. Pengetuaku menjelaskan sedikit mengenai pengurusan untuk melanjutkan pengajian ke situ.

Setelah mendengar sedikit penjelasan itu, pengetua meminta agar aku dan sahabat-sahabat yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Mesir bersepakat untuk menguruskan segala dokumen-dokumen yang perlu secara berjemaah (bersama-sama). Aku mula menghubungi sahabat-sahabat yang berhasrat sepertiku. Ternyata ramai juga yang menyimpan niat sepertiku.

Setelah berhubung dengan semua sahabat-sahabatku itu, kami bersepakat pada suatu tarikh untuk datang ke sekolah dan menumpang di sekolah itu sementara menguruskan segala dokumen yang diperlukan memandangkan lokasi sekolah itu lebih hampir dengan pusat pentadbiran negeri berbanding daerah-daerah tempat tinggalku dan sahabat-sahabatku.

Kami dengan penuh kesabaran menguruskan segala dokumen walaupun agak sukar. Masihku ingat saat itu, seorang ustaz (al-Fadhil al-Ustaz Abidin bin Omar)yang kini telah kembali ke rahmatulLah (02 Januari 2010) banyak membantu kami pada ketika itu memandangkan anak perempuannya yang juga salah seorang daripada sahabatku semasa di sekolah menengah mempunyai niat yang sama denganku.

Setelah semua urusan yang penting selesai, aku kembali ke rumah dan hanya menunggu khabar daripada sahabatku mengenai permohonan melanjutkan pengajian ke luar negara itu. Di samping itu, aku juga sempat mengisi permohonan melanjutkan pengajian di universiti tempatan. Tidak lama setelah selesainya urusan-urusan penting itu, sahabat-sahabatku menghubungiku untuk memaklumkan mengenai keputusan untuk menduduki ujian MEdSI yang baru sahaja dikeluarkan.

Pada saat itu hatiku mula berbelah bagi. Perlukah aku menyemak keputusan itu, ataukah lebih baik jika aku langsung tidak mengetahui tentangnya. Namun, aku dengan sepenuh hati cuba menuruti kemahuan ibuku yang menyuruhku menyemak keputusan itu. Ternyata aku di antara calon yang layak menduduji ujian itu. Pada masa yang sama juga 2 orang sepupuku turut mendapat keputusan yang sama.

Aku bagaikan tidak mahu menghadiri ujian itu. Akan tetapi kuteruskan jua demi kedua ibu bapaku. Pada hari ujian itu, aku dihantar oleh ayahku. Seorang daripada sepupuku tadi juga pergi bersamaku pada hari itu. Aku tidak tahu apa yang aku inginkan saat itu. Hanya yang kubayangkan bumi anbiya' yang sedang menanti nun jauh di sana. Aku sempat berdoa agar Allah bukakan jalan yang terbaik buat diriku. Akhirnya ujian itu telah kulalui.

Aku meneruskan hari-hariku dengan impian yang tinggi. Aku banyak berhubung dengan sahabat-sahabatku dan berkongsi impian yang sama. Hari berlalu tanpa kusedari. Sehingga aku hampir terlupa pada ujian yang telah kulalui.

Pada suatu senja aku terlelap seketika di hadapan televisyen. Sesungguhnya hari itu hari yang tidak akan kulupai hingga ke hari ini. Aku dikejutkan dengan panggilan seorang sahabatku. Sahabatku itu memaklumkan kepadaku bahawa keputusan untuk melanjutkan pengajian ke universiti tempatan telah pun dikeluarkan. Aku cuba untuk tidak memaklumkan pada orang rumahku dengan harapan tidak ada sesiapa yang tahu keputusanku. Namun, Allah lebih Bijaksana. Aku tidak dapat lari daripada ketentuan-Nya.

Malam itu, ibu dan abangku menyemak keputusan itu. Aku hanya berdiam diri di bilik. Aku khuatir tidak dapat meneruskan citaku. Dengan suara yang agak perlahan ibuku memanggilku dari ruang tamu. Aku diberitahu bahawa aku berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti tempatan. Aku hampir menitiskan airmata. Bagaimana harusku terima semua itu, sedangkan hatiku telah lama terbang ke bumi anbiya.

Ibuku memujukku dengan pelbagai cara. Aku tidak dapat menolak sedikitpun kehendak ibuku. Memandangkan seorang kakakku juga sedang menuntut di sebuag Institut Pendidikan Guru, ibuku berbesar hati agar aku juga meneruskan langkah seperti kakakku itu.

Setelah saat itu, aku cuba mengubah pendirianku. Aku harus menerima segala kemahuan ibuku. Memang pada saat itu aku terlalu akrab dengan ibuku sehingga aku tidak berani untuk menidakkan permintaannya.

Demi ibuku, aku kuburkan impianku.

* * * * * * * * *

Aku hanya sekadar menjadikan impian yang telah terkubur itu di antara pendorong buat diriku. Kini sahabat-sahabatku telah berpijak di bumi anbiya itu. Aku tidak kesal, namun aku masih mengenangkannya. Perjuanganku mungkin tidak sejauh dan sehebat sahabat-sahabatku. Akan tetapi ia masih tetap suatu perjuangan. Aku menerima dan meneruskan perjuanganku di tanah air tercinta ini sedaya yang mampu. Aku mungkin bukan musafir di bumi anbiya. Namun bagiku, cukuplah aku menjadi "MUSAFIR ILMU" di tanah airku sendiri.

0 comments: