BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, January 17, 2010

Hari-hari gentingku,,hanya memori,,atau akan berulang kembali..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ni..

Sekadar ingin mengimbau kembali suatu saat paling genting dalam hidupku. Saat itu aku sedang bercuti sebelum memasuki pengajianku di semester yang baru. Masihku ingat hari pertama doktor menyatakan kepadaku tentang kondisi kesihatanku, 26 Mei 2009. Aku bagaikan tidak mahu meneruskan pengajianku saat itu. Namun aku cuba mencari semangat buat diriku. Dan yang kutemui adalah wajah kedua orang tuaku.

Hari-hari yang kulalui mulai menjadi suram dan kuarng mengenakkan. Aku mudah tersentuh. Gelak tawa adik-beradikku menambahkan keperitan di lubuk hatiku. Hati manusia mana yang tak berasa perit bila ditimpa sesuatu yang boleh mengubah suatu kehidupan. Namun kupujuk jua hati ini untuk tidak menyatakannya kepada mereka. Aku cuba untuk tidak berasa gentar walaupun hari yang paling kutakuti bakal tiba.

Malam sebelum aku kembali ke hospital dan menjalani pembedahan, aku seperti biasa tidur bersama anak buahku yang paling hampir denganku, Izzati. Aku mulai risau pada malam itu. Bagaimana harusku tempuhi hari esok. Kutatapi wajah anak buahku dalam-dalam. Dia masih kecil dan belum mengerti. Pasti hari esok dia akan bertanya kemana perginya aku. Walaupun agak sukar untukku lelapkan mata pada malam itu, namun kugagahi jua.

Seawal jam empat pagi aku bangun untuk bersiap. Waktu subuh agak lama lagi. Aku menikmati sunyi pagi seorang diri di ruang tamu rumahku. Selepas bersolat, aku tidak minum mahupun makan walau sedikitpun. Kukira hari itu aku akan menjalani pembedahan dan perlu berpuasa mengikut saranan doktor.

Aku ditemani kedua orang tuaku ke hospital pada pagi itu. Seperti hari sebelum itu, aku bertemu doktor yang sama. Aku dihantar ke wad pesakit wanita. Kulihat ramai juga pesakit pada ketika itu. Namun tidak seorang pun yang seusia denganku. Mungkin mereka lebih sesuai kugelar makcik. Aku mula tidak keruan. Kegelisahan menyelubungi diriku sehingga pandanganku terarah kepada seorang kanak-kanak perempuan yang baru sahaja menjalani pembedahan jantung. Aku kembali bersemangat. Masakan kanak-kanak kecil boleh menghadapinya sedangkan aku tidak.

Aku dikejutkan daripada bicara hatiku dengan sapaan seorang jururawat yang sedang menjalani praktikal. Kulihat dia seakan-akan seusia denganku. Jangkaanku tepat apabila dia menyatakan sedikit tentang dirinya dalam perbualan pendek denganku. Bijak juga jururawat tersebut memancingku agar tidak merasa sakit ketika diambil darah.

Setelah beberapa lama akau berada di dalam wad itu, seorang jururawat lagi datang memberitahuku bahawa akau akan dibedah pada keesokan harinya. Memandangkan demikian, aku mengalas perutku dengan sedikit makanan yang diberikan oleh ibuku. Setelah itu kedua orang tuaku pun berlalu pergi dan meninggalkanku seorang diri di wad. Aku sekadar tidak mahu menyusahkan sesiapa. Pada malam itu, aku tidur berseorangan tanpa ditemani sesiapa. Itulah hari pertamaku tidur di wad berseorangan. Aku mulai nyenyak setelah membuat panggilan kepada seorang sahabatku yang selalu mengambil berat tentang diriku.

Suasana di dalam wad memang terlalu sunyi pada waktu malam.Tidurku juga tidak terganggu. Hanya apabila seorang jururawat datang kepadaku pada jam12 malam untuk memberikan aku dua biji ubat. Aku agak tidak senang pada ketika itu kerana aku memang susah menerima ubat-ubatan. Oleh kerana aku bersendirian, kubulatkan azamku untuk menelan ubat itu. Lenaku tenang kembali.

Suasana di wad agak pelik bagiku. Seawal sebelum subuh jururawat sudah mulai ke hulu ke hilir. Aku bergegas bangun dan membersihkan diriku. Aku diberikan baju persalinan untuk masuk ke balai pembedahan. Seram juga seluruh badanku dengan persalinan itu. Apa tidaknya, persalinan bagaikan jubah putih. "MAUT" itu yang kubayangkan saat itu. Aku berasa sedikit lapar, namun ketika itu aku ditegah untuk makan dan minum.

Aku agak risau pada pagi itu memandangkan surat kebenaran pembedahanku belum ditandatangani oleh warisku. Banyak panggilan kulakukan. Akhirnya Kedua orang tuaku tiba juga menjelang jam sembilan pagi. Aku lega buat seketika. Namun entah mengapa diriku pada saat itu. Jururawat menyatakan keadaan darahku agak membimbangkan. Dengan spontan aku teringat zaman sekolah menengah dulu. Aku di antara pelajar yang tidak boleh mendermakan darah kerana darahku hanya terlalu kurang. Aku hanya berserah pada ketika itu.

Jam satu petang, giliranku untuk masuk ke balai pembedahan. Tudung penutup kepalaku dibuka oleh jururawat dan digantikan dengan kain khas. Aku hanya menuruti segala yang diperlakukan pada diriku. Ketika aku berbaring di atas katil yang ditolak oleh beberapa orang jururawat, sempatku memandang wajah kakak-kakakku yang berada di tepi. Aku terkilan.

Setibanya aku di balai pembedahan, ibuku tidak dapat lagi menemaniku.Aku hanya bersendirian. Saat itu kulihat dua orang doktor, dua orang pembantu, dan dua orang jururawat sedang membuat persiapan peralatan untuk pembedahanku. Aku agak berasa hairan kerana di dalam bilik pembedahan itu dimainkan lagu-lagu yang agak menyenangkan walaupun tidak berunsurkan agama (ketenanagan buat hati yang gelisah).

Sebelum pembedahan dijalankan, seorang pembantu memberikan suntikan kepadaku. Kuingat lagi pertanyaannya "adik tak rasa mengantuk?". Saya empat menjawab "tidak". Dan setelah itu aku sedar yang aku tidak dapat bernafas. Rupanya pembedahan yang amatku geruni telah selesai. Cuma pada ketika itu, doktor dan beberapa ornag jururawat agak risau memangangkan tekanan darahku terlalu rendah. Aku menyedarinya walaupun saat itu aku masih tidak mampu bangun akibat suntikan.

Aku hanya dikeluarkan daripada balai pembedahan setalah tiga jam berlalu. Memang amat perit, sakit, seksa dan macam-macam. Aku tidak berdaya pada ketika itu. Hanya yang mampuku lafazkan "mak". Terus terang, pada saat itu kuingin menyebut nama Yang Esa. Namun apalah kudratku. Aku mulai tidak ingat an sedar apa yang berlaku selepas itu.

Pada malamnya aku ditemani seorang kakakku. Aku masih lemah dan tidak mampu berbual. Hanya terbaring dan kaku di atas katil. Kuringkaskan pengalamanku ini, dan akhirnya aku kembali ke rumah. Banyak perkara lagi yang berkaitan dengan kesihatanku. Aku cuba abaikan demi pengajianku.

* * * * * *

Setelah beberapa lama, ku mulai rasa apa yang ku rasakan dulu. Aku yakin, ia adalah apa yang ku rasakan dulu. Namun aku bukanlah seorang doktor. Aku hanya teringat memori saat paling genting dalam hidupku. Hanya sebuah memori. Kuharap ia hanya akan tinggal memori dan tidak akan berulang kembali. Aku masih belum puas bermusafir di bumi Allah ini.

0 comments: