BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, May 25, 2011

Andai "MEREKA" Ada Di Sisiku..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Adakala kita iri melihat insan lain..sedang kita lupa ada insan lain lebih susah dan menderita berbanding kita..adakalanya juga kita puas dengan apa yang kita miliki..sedang kita lupa ada mereka yang lebih memerlukan..

Sayu rasa hati mengenangkan raut wajah mama dan bapa tersayang. Rindu rasa hati ini untuk kembali. Bertemu dengan insan-insan tersayang. Namun apalah dayaku. Seharian menahan rasa hati yang tidak keruan. Andai "MEREKA" ada di sisiku alangkah indahnya.

Aku melihat riang gembira sahabat-sahabatku untuk bercuti selama dua minggu ini. Namun aku hanya mampu mendengar dan berkongsi kegembiraan. Apa yang mampu memujuk hatiku hanyalah gambar-gambar keluargaku. Aku perlu kuatkan semangatku. Lemah dan mengaku kalah bukan tradisi keluargaku.


* * * * * * * * * * * * *

Biarlah aku meneruskan langkahku sebagai MUSAFIR ILMU untuk terus maju ke hadapan.

Monday, May 23, 2011

Sebuah Mandat..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Biar kecil susuk tubuh, biar berduri ranjau ditempuh, biar bergunung bukit didaki, biar amanah semua dilunasi..

Berkeringat aku setibanya di sekolah. Berjalan di tengah terik mentari membuatku merasakan betapa jauhnya sekolah dari rumah sewaku, sedangkan jika dihitung masa dan perjalanan jaraknya tidaklah jauh. Aku bergegas ke bilik mesyuarat bersama sahabat-sahabat praktikum yang terlibat dengan majlis persaraan yang akan diadakan pada 26 mei ini.

Sesampainya di hadapan bilik mesyuarat, kulihat pintu masih tertutup dan ternyata ia masih terkunci. Alangkah geramnya hatiku tatkala itu. Aku bersabar seketika dan menunggu guru-guru yang terlibat dengan mesyuarat itu tiba. Setelah beberapa minit, kami dimaklumkan bahawa pengerusi dan setiausaha tidak dapat menghadirkan diri dan mesyuarat terpaksa ditangguhkan esok.

Dengan redha kami turun dari bilik mesyuarat yang terletak di tingkat 3 blok tersebut dan singgah ke bilik peperiksaan untuk mengambil kertas soalan yang akan diberikan kepada kelas mengikut jadual yang ditetapkan. Sambil menunggu kertas soalan, penyelia petang datang menemuiku dan meminta aku dan sahabat paraktikum sesi petang untuk berjumpa dengannya selepas itu.

Setelah mendapatkan kertas soalan, aku dan sahabatku pergi menemuinya. Antara perkara yang dimaklumkan kepada kami ialah mengenai jadual dan guru pembimbing sepanjang menjalani latihan mengajar di sekolah itu. Aku diberikan 12 masa mengajar yang mana aku diamanahkan mengajar kelas tingkatan 2C dan juga 1G.

Alhamdulillah aku bersyukur kerana pelajar-pelajar di kelas tersebut walaupun agak sedikit nakal tetapi masih boleh mendengar kata-kata guru jika dibandingkan dengan sesetengah kelas yang lain. Namun begitu, bukan itu yang inginku perkatakan. Apa yang penting bagiku ialah menunaikan amanah atau mandat yang diberikan oleh pihak sekolah kepadaku dengan sebaik mungkin.

Betapa susah dan banyak ujian yang harusku hadapi sepanjang menjalani latihan mengajar akanku jadikan sebagai pengalaman dan bekalanku apabila melangkah ke sekolah sebagai guru kelak. Aku tidak akan pernah jemu berusaha dan berdoa agar aku sentiasa diberikan kekuatan, ketabahan, kecekalan, dan keredhaan daripada Allah.

* * * * * * * * * * * *

Sebuah mandat buat MUSAFIR ILMU yang harus dilunasi di kembaranya sebagai musafir yang sedang berjuang.

Sunday, May 22, 2011

Minggu Ketiga.. ^_^'

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Adakalanya apa yang kita perolehi adalah tanpa diduga.


Hari ini seperti biasa aku ke sekolah. Tepat jam 12 tengah hari aku mula berjalan kaki ke sekolah bersama 2 orang sahabat yang turut menjalani latihan mengajar bersamaku. Agak terik matahari pada ketika itu. Aku pula asyik memikirkan kelas yang menjadi amanahku hari ini.

Sesampainya aku di sekolah, seperti hari-hari yang sudah aku akan terus menuju ke pejabat bagi menandakan buku kehadiran. Setelah itu aku terus ke bilik mesyuarat di mana menjadi tempat guru-guru praktikum. Aku berehat seketika. Seorang guru datang kepadaku dan memberikan surat untuk menghadiri mesyurat pada esok hari. Agenda mesyuarat adalah mengenai majlis persaraan seorang guru di sekolah itu. Aku akur kerana aku diamanahkan menjadi AJK 'backdrop'.

Sedang aku berehat, loceng pula kedengaran menandakan aku perlu segera ke bilik peperiksaan untuk mengambil kertas soalan. Aku pantas bergerak dan menuju ke kelas. Aku bersyukur pelajar hari ini tidaklah memeningkan fikiranku. Setelah selesai dan masa menjawab tamat, aku menghantar kertas jawapan tersebut ke bilik peperiksaan semula. Sesampainya aku di situ, seorang guru memintaku menggantikan guru yang tidak hadir untuk menjada peperiksaan pada masa seterusnya. Aku akur kerana aku tahu aku hanya seorang guru pelatih dan itu semua adalah latihan bagiku.

Belum pun sempat aku melangkah, guru tersebut memanggilku lagi dan memaklumkan padaku bahawa aku adalah antara beberapa orang guru yang menjadi guru bertugas pada minggu ini. Apalah nasibku. Aku tidak tahu kenapa harus aku. Tetapi aku tetap akur. Semua itu adalah latihan. Moga aku akan terus tabah menerima ap pun jua amanah.

Banyak lagi hal yang berlaku hari ini. Aku diberikan pen marker oleh pihak sekolah sama seperti sahabat pelatih yang lain. Dan yang agak menggembirakan, aku telah bertanya kepada penyelia petang mengenai jadual. Beliau menyatakan bahawa jadual akan diberikan pada hari rabu. Alhamdulillah.

* * * * * * * * * *

Amanah yang diberikan perlu dijalankan dengan penuh kesungguhan. MUSAFIR ILMU pasti mampu menerima dan menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Friday, May 20, 2011

Bersyukur Dengan Segala Kurniaan-Nya..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Andai kita menyedari hakikat kita sebagai hamba-Nya, terimalah segala ketentuan dan kurniaan-Nya dengan penuh kesyukuran dan redha.

Hari ini aku tidak ke sekolah. Esok juga aku tidak perlu ke sekolah. Seperti biasa aku akan menghabiskan masa yang ada dengan rutin harianku. Namun yang berbeza hari ini, aku sedikit tersentuh kerana keputusan peperiksaan semester telah pun keluar. Aku menjadi tidak keruan. Kugagahi jua diri ini untuk melihat keputusanku.

Apa yang inginku katakan ialah apapun keputusan yang aku terima hanyalah angka sebagai ukuran. Aku tetap bersyukur. Aku yakin pada kurniaan-Nya. Hanya itu tahap kemampuanku. Aku akan redha dan terus bersyukur.

Buat mama dan bapa di kampung, anak kalian ingin memohon maaf andai hari ini sedikit mengecewakan. Bukan niatku melakukan sedemikian. Tetapi itulah taqdir dan ketentuan-Nya. Di kesempatan ini juga aku ingin mengucapkan "MABRUK" kepada sahabat-sahabat yang berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang.

* * * * * * * * * *

MUSAFIR ILMU haruslah sentiasa redha dengan segala ketentuan-Nya. Usaha dan terus berusaha. InsyaAllah pasti akan beroleh kejayaan.

Thursday, May 19, 2011

Hari terakhir Minggu Kedua..

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Hari yang kita rasa tidak mampu hadapi pasti akan kita hadapi juga. Walau sesukar mana pun hari itu kita mesti hadapi juga.

Alhamdulillah syukur pada Allah. Hari ini hari terakhir dalam minggu yang kedua aku menjalani latihan mengajar. Agak sukar juga hari-hari yang aku lalui sepanjang dua minggu ini. Bila difikirkan kembali seperti tidakku percaya aku mampu hadapi setiap hari itu.

Persoalah akhir atau baru bermula tidak menjadi isu yang utama. Tetapi bagaimana untuk menghadapi hari-hari itu dengan terbaik yang sentiasa bermain di fikiran. Aku setakat ini masih tidak diberikan jadual. Kerisauan mula bersarang di lubuk hati.

Hari ini juga merupakan hari terakhir bagi 2 orang pelajar senior yang turut menjalani latihan mengajar di sekolah itu. Alangkah bahagianya jika aku berada di tempat mereka. Namun aku sedar aku baru berada di awal perjalanan. Belum pun menempuh ranjau yang mencabar, onak yang berduri, ombak yang membadai dan angin yang menghembus kencang.

Aku merasa sedikit keletihan hari ini. Mungkin disebabkan tidur yang tidak mencukupi malam semalam akibat kerja-kerja membuat tulisan dan corak-corak untuk backdrop sempena majlis persaraan seorang guru pada minggu hadapan. Justeru malam ini aku harus tidur lebih awal.

* * * * * * * * * * *

Keletihan, kerisauan, kebimbangan dan sebagainya adalah lumrah sebagai seorang MUSAFIR ILMU. Semua itu akan melatih diri menjadi lebih kuat dan tabah di hari-hari yang mendatang.

Wednesday, May 18, 2011

Semua Atas Kehendak-Nya

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Sebaik-baik perancang ialah Allah. Kadangkala kita telah merancang yang terbaik, namun semua bergantung pada izin-Nya jua.

Hari ini seperti biasa aku akan ke sekolah pada jam 12.00 tengah hari. Sedikit kerisauan bermain di benakku. Perutku mulai tidak selesa sejak semalam. Aku tidak lalu untuk menjamah makanan. Akhirnya aku ke sekolah dengan perut yang kosong dan dialasi hanya dengan secawan nescafe.

Aku akan menjaga kelas peperiksaan pada hari ini. Sungguh lama kurasakan menunggu masa untukku menjaga kelas peperiksaan. Akhirnya jam menunjukkan 5.30 petang. Aku ke Bilik Peperiksaan sekolah untuk mengambil kertas soalan dan seterusnya ke kelas tingkatan 1.

Semasa memasuki kelas, aku amat sedih melihatkan keadaan pelajar yang tidak tahu menghormati guru. Adakah aku harus berlembut pada ketika itu. Aku beristighfar seketika. Aku mula bersuara. Alhamdulillah pelajar mendengar kata-kataku.

Aku mengarahkan semua pelajar menyimpan buku dan yang tidak berkaitan di belakang kelas sebelum aku mula mengagihkan kertas soalan dan borang OMR. Beberapa minit kemudia loceng berbunyi menandakan masa menjawab telah bermula.

Aku mengawasi kelas dengan penuh kesabaran. Namun selepas 25minit berlalu, pelajar mula menunjukkan ragam masing-masing. Pelbagai alasan diberikan. Hendak ke tandas, meminta untuk aku mengutip kertas jawapan dengan lebih awal dan macam-macam lagi. Aku cuba bertenang dan memaklumkan bahawa pelajar hanya dibenarkan keluar kelas setelah loceng yang menunjukkan masa menjawab telah tamat dibunyikan oleh penyelia petang sekolah.

Ramai dalam kalangan pelajar yang cuba menunjukkan reaksi kurang berpuas hati dengan tindakanku. Aku sekadar mengabaikan sahaja kerana apa yang aku lakukan semuanya adalah atas arahan Penyeli Petang sekolah dan lembaga peperiksaan sekolah. Pelajar terpaksa akur. Tetapi masih juga terdapat pelajar yang ingin membuat bising. Aku memberi arahan untuk senyap tetapi mereka berkeras sehinggalah seorang guru dari kelas sebelah datang dan memberikan amaran kepada mereka. Setelah itu tidak ada lagi pelajar yang berani membuat bising.

Setelah loceng tamat peperiksaan berbunyi, aku mengutip kertas jawapan dan mengizinkan para pelajar untuk keluar. Aku membiarkan para pelajar beredar terlebih dahulu. Kemudian aku mula menyusun langkah untuk turun. Ketika turun, aku terasa penglihatanku menjadi gelap dan aku sedar yang aku telah pun berada di atas lantai dalam keadaan duduk. Sungguh aku tidak menyangka perkara tersebut berlaku padaku. Aku bersyukur perkara itu berlaku dengan masa yang singkat.

Aku pantas bangun dan bergegas ke Bilik Peperiksaan untuk menghantar kertas jawapan kelas tadi. Dan setelah itu aku segera mencari 2 orang temanku untuk sama-sama pulang ke rumah.

* * * * * * * * * * * * * *

Aku merancang untuk menjadi guru yang baik. Namun rancangan Allah itu lebih hebat. Aku diuji dengan ujian yang tidak pernahku pinta. Ya Allah redhailah MUSAFIR ILMU ini. Andai aku mampu menghadapi ujian-Mu, berikanlah aku ujian. Andai aku tidak mampu, Engkau ringankanlah ujian-Mu terhadapku.

Tuesday, May 17, 2011

Tatkala Jiwa Merindu.. ^_^'

Assalamu'alaikum buat semua pengunjung dan "followers" blog ini..

Memori yang indah akan sentiasa tersemat dalam kalbu. Walaupun kadangkala ia hanya memori indah dalam diri.

Hari ini merupakan cuti hari Wesak. Aku tidak ke sekolah dan seperti biasa aku hanya duduk di rumah. Seawal subuh aku telah bangun. Apa aktiviti yang akanku lakukan hari ini. Aku hanya merancang untuk memasak dan beristirehat di rumah.

Setelah selesai memasak, aku mula meneroka gambar-gambar yang tersimpan di dalam laptop milikku. Dalam pada itu, aku terlihat gambar hari terakhir aku semasa berada di semester 6. Hari itu merupakan hari Ekspo Hasil Pembelajaran EDU. Aku adalah di antara mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai ekspo tersebut dalam bahagian Video Makropengajaran Dalam Makmal secara individu.



Walaupun hanya mendapat saguhati, namun bagiku ia cukup bermakna. Memori itu akan terus tersemat di hati. Aku amat merindui detik dan saat-saat berada di alam pengajian. Alangkah indahnya waktu itu. Bagaikan tidak kurasai 3 tahun telah pun berlalu. Dan kini aku sedang menjalani latihan mengajar.

* * * * * * * * * * * *

Alangkah indahnya MUSAFIR ILMU. Pelbagai pengalaman pahit manis dirasai. Sejuta kenangan terukir indah di dalam ingatan. Memori yang pasti akan dikenang dan dirindui selamanya.